Jun 4, 2012

(Prebiu) Suku Akhir kedua Piala Presiden: Sabah vs Terengganu 4 Jun 2012

Suku Akhir kedua Piala Presiden: Sabah vs Terengganu 4 Jun 2012

Perlawanan suku akhir kedua Piala Presiden hari ini akan menemukan pasukan tuan rumah, Sabah yang akan melayan kunjungan wakil pantai timur, Terengganu. Skuad piala presiden Sabah yang lebih dikenali Sabahawks Juniors di kalangan peminat tempatan, pastinya akan menjadi pasukan pilihan petang ini atas kelebihan bermain di tempat sendiri serta rekod yang menakjubkan sepanjang kempen liga di Likas. Pada perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung 28 Mei lalu di tempat lawan, Sabah berjaya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan 0-0.

Stadium Likas pastinya akan menjadi 'neraka' bagi pasukan Terengganu petang ini melihat kepada rekod-rekod perlawanan terdahulu dalam kempen liga yang menyaksikan 10 kemenangan dan 1 seri dari 11 perlawanan. Satu lagi kemenangan ke atas pasukan bermasalah, SDM Pulau Pinang tidak diambil kira. Satu-satunya pasukan yang berjaya merosakkan rekod sempurna Sabah di Likas adalah pasukan SSBJ yang mengikat tuan rumah 2-2. 

Musim lalu, pasukan kita telah ditunjukkan jalan keluar pada peringkat yang sama dengan keputusan yang cukup memalukan oleh pasukan MP Muar dengan agregat 3-6. Walaupun menang 2-1 di Likas pada aksi suku akhir pertama, Sabah tewas mengejut 1-5 di tempat lawan pada perlawanan kedua. Ini pastinya memori yang cukup perit untuk diimbas semula, namun kali ini, keadaanya pasti berbeza dengan melihat perkembangan prestasi semasa pasukan Sabah yang sememangnya 'impressive'.

Tiga pasukan seteru Sabah di kumpulan A iaitu Kedah, Sime Darby dan SSTMI telah terkeluar di peringkat suku akhir setelah tewas kepada lawan masing-masing dari kumpulan B. Pastinya Sabah tidak akan memilih jalan yang sama seperti pasukan-pasukan ini dan kemenangan hanyalah satu-satunya pilihan anak-anak buah Johnny Dominicus. 

Ayuh Sabahawks Junior...andalah harapan kita semua.
SABAH TATAPPP!!!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...