Jul 3, 2012

Menjelang Perlawanan: Johor FC vs Sabah 3 Julai 2012 - Preview

Menjelang Perlawanan: Johor FC vs Sabah 3 Julai 2012 - Preview | Johor FC vs Sabah 3/7/12

Selepas melepasi cabaran getir menentang pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur Sabtu lepas, malam ini cabaran lebih besar menanti pasukan Sabah di Std. JCorp, Pasir Gudang di mana pasukan saingan zon penyingkiran Johor FC sedang menanti. Perlawanan malam ini nampaknya lebih 'tricky' berbanding perlawanan -perlawanan lalu melihat kepada lawan yang di akan dihadapi pasukan Sabah. Johor FC, jika dilihat pada carta liga. hanya berada satu tangga di atas Sabah dengan kedua-dua pasukan memiliki mata yang sama dan hanya dipisahkan oleh jurang gol. Dengan pasukan di zon penyingkiran, Kedah memiliki kurang satu mata berbanding kedua-dua pasukan ini, tekanan pasti akan dirasai kedua-dua pasukan untuk memastikan tiga mata berharga diraih. Tidak akan ada keputusan yang lebih baik selain kemenangan kerana setiap mata yang dicicirkan pastinya menyukarkan peluang kekal di Liga Super musim depan.

Sabah akan turun dalam perlawanan malam ini dengan moral yang tinggi selepas kemenangan 'back-to-back' menewaskan Kedah 1-0 dan terbaru, Kuala Lumpur 4-2. Johor FC yang tewas kepada Sarawak 1-3 Sabtu lalu sekaligus menamatkan rentetan kejayaan cemerlang pasukan itu yang menang dalam tiga perlawanan sebelum itu. Namun begitu, kelebihan masih dimiliki pasukan tuan rumah dengan sokongan penyokong sendiri ditambah lagi dengan rekod baik bermain di tempat sendiri musim ini. Rekod Sabah di tempat lawan tidaklah begitu baik dan belum ada kemenangan dicatatkan pasukan ini di luar dari Std. Likas musim ini. Rekod pertemuan dua pasukan ini Std. JCorp juga nampaknya tidak menyebelahi pasukan Sabah dengan dua perlawanan terakhir dimenangi pasukan Johor FC.

Rekod pertemuan Johor FC vs Sabah di Std. JCorp (2006-2011):
30/04/2011: LS - Johor FC (3) - (0) Sabah - Kalah
11/07/2008: PM - Johor FC (3) - (1) Sabah - Kalah
26/03/2007: PFA - Johor FC (3) - (4) Sabah - Menang
07/04/2006: LP - Johor FC (3) - (1) Sabah - Kalah
04/02/2006: LP - Johor FC (2) - (3) Sabah - Menang

*LS: Liga Super | PM: Piala Malaysia | PFA: Piala FA | LP: Liga Perdana


Kita imbas semula perlawanan kedua-dua pasukan ini pada pusingan pertama yang menyaksikan Sabah menang 2-1 ke atas lawan di Std. Likas.


Imbasan keputusan Sabah vs Johor FC 03/03/2012:
Sabah (2) - (1) Johor FC
Rozaimi 31'      Athuro 29'
Shahrudin 82'

Sabah malam ini akan turun dengan keadaan pasukan yang 'tempang' ekoran kecederaan terbaru yang melanda beberapa pemain utama yang membuatkan jurulatih Sabah, Andrew Majanggim kekurangan pilihan pemain. Terbaru, dua pemain penyerang, Zainizam dan Juffry dilaporkan mengalami kecederaan dan kemungkinan besar tidak akan bersama dalam pasukan malam ini. Dua pemain ini menambah senarai pemain yang cedera dalam pasukan dengan Fariss, Ronny, Sumardi, Bobby, Mafry dan Razlan masih belum cergas sepenuhnya untuk perlawanan ini. Alto Linus pula dilaporkan tidak sihat kerana demam selesema selain Leopold Alfonso yang digantung kerana mengumpul kad kuning ketiga ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur yang lepas. Namun, Leopold dikhabarkan bersama-sama dengan skuad bolasepak SUKMA di Pahang. Sedikit melegakan, Sabah mungkin akan mendapat semula khidmat pemain sayap, Shahrul Azhar yang dilaporkan telah pulih dari kecederaan.

Dengan pilihan yang amat terhad, Andrew mungkin akan menggunakan khidmat pemain yang jarang diturunkan seperti Safuan Ibrahim dan Naim Ahmad disamping khidmat pemain skuad junior seperti Razid Gapar, Zulmanshah dan Dendy Lowa yang menunjukkan permainan yang baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Azizon pastinya akan terus mendapat kepercayaan dari jurulatih untuk mengawal gawang dan mungkin akan di bantu oleh Reithuddin, Rosdin, Zulmanshah dan Razid di bahagian pertahanan. Hendrik bersama dengan Radzi, Shahrul dan Thanaraj akan berganding di bahagian tengah manakala Brendan mungkin akan diletakkan di bahagian serangan.

Sedikit melegakan bagi skuad Sabah adalah ketiadaan pemain import merbahaya Johor FC, Arthur Henrique (Arthuro) yang dikhabarkan telah kembali ke negara asal beliau, Brazil ekoran masalah peribadi. Dilaporkan bahawa Arthuro telah diberi rehat tanpa gaji selama sebulan oleh pihak pengurusan Johor FC. Arthuro tidak beraksi dalam perlawanan menentang Sarawak tempoh hari dan berkemungkinan sehingga tamat musim liga. 

Sabah, setidak-tidaknya perlu mengelakkan daripada kalah pada perlawanan malam ini bagi terus memberi tekanan ke atas pasukan-pasukan lain yang bersaing dalam zon penyingkiran. Kedah malam ini akan menentang Selangor di tempat lawan manakala pasukan ditangga ke 10, Felda United tidak akan bermain malam ini. Satu lagi pasukan yang masih terancam disingkir, T-Team akan bertemu dengan Sarawak. Dengan kejuaraan liga yang sudah boleh ditentukan antara Kelantan dan Singapore Lions XII, saingan mengelakkan tersingkir ke Liga Perdana akan menjadi tumpuan dalam baki perlawanan liga musim ini.

Jadual perlawanan Liga Super malam ini 3 Julai 2012:
Johor FC vs Sabah - Std. JCorp, Pasir Gudang.
Selangor vs Kedah - Std. Shah Alam
N. Sembilan vs Kelantan - Std. Tunku Abd. Rahma, Paroi
Perak vs Selangor PKNS - Std. Perak, Ipoh
Sarawak vs T-Team - Std. Negeri, Kuching
Terengganu vs K. Lumpur - Std. Sultan Ismail Nasiruddin

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...