Jul 7, 2012

Menjelang perlawanan: Sabah vs Terengganu 7 Julai 2012

Menjelang perlawanan: Sabah vs Terengganu 7 Julai 2012 | Sabah vs Terengganu 7/7/12 Preview
Sabah akan turun dalam perlawanan yang diibaratkan 'do or die' malam ini menentang pasukan Terengganu di Std. Likas. Kemenangan adalah satu-satunya pilihan jika pasukan ini mahu terus kekal dalam Liga Super musim depan. Skuad Sabah di bawah kendalian penolong jurulatih, Andrew Majanggim berada dalam keadaan yang 'tenat' dalam liga dengan hanya tiga baki perlawanan. Buat pertama kalinya, Sabah terperosok ke kedudukan kedua terbawah liga dan yang juga salah satu slot penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

Pasukan Terengganu yang akan dihadapi oleh Sabah malam ini adalah pasukan yang telah mengaibkan kita pada saingan liga di pusingan pertama dengan kemenangan besar 6-3 di Kuala Terengganu. Jadi, misi pasukan Sabah dalam perlawanan malam ini bukan hanya untuk mengutip 3 mata tetapi juga untuk membalas dendam kekalahan besar tersebut.

Cabaran besar menanti skuad Sabah yang kini dilanda krisis kekurangan pemain dan terbaru, pemain pertahanan Rosdim Wasli digantung dua perlawanan setelah menerima kad merah dalam perlawanan menentang Johor FC lalu. Pemain yang berada dalam senarai kecederaan adalah Sumardi Hajalan, Ronny Harun, Zainizam Marjan, Mafry Balang dan Fariss Azlan Mat Isa. Alto Linus dan Juffry Omopor yang sebelum ini juga berada dalam senarai pemain cedera belum pasti berada dalam skuad malam ini. Satu-satunya berita baik buat Sabah adalah kembalinya Rozaimi Abd. Rahman dalam skuad. Walaupun baru kembali dari tugasan bersama skuad kebangsaan bawah 22 tahun, Andrew tiada pilihan selain Rozaimi di posisi penyerang.

Apapun situasinya, kemenangan ke atas Terengganu adalah misi besar skuad Sabah yang harus dicapai malam ini. Lain keputusan dari itu memungkinkan Sabah bersedia untuk 'gulung tikar' dalam Liga Super. Harapan kita sebagai penyokong, Sabah perlu fokus dalam perlawanan ini dan bermain 'all out' bagi memastikan misi 3 mata penuh tercapai.

Barisan kemungkinan Sabah malam ini:
GK: Azizon Abd. Kadir
Pertahanan: Razid Gapar, Zulmanshah Aling, Shahrul Azhar Ture, Reithuddin Emran
Tengah: K. Thanaraj, Shahrudin Yakup, Hendrik Helmke, Radzi Husin
Penyerang: Brendan Gan, Rozaimi Abd. Rahman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...