Jul 13, 2012

Sabah tewaskan N Sembilan 2-1 untuk ke final bolasepak SUKMA

Rozaimi bantu Sabah ke final
SUKMA Bolasepak - Separuh akhir: Sabah vs Negeri Sembilan 2-1

Rozaimi Abd. Rahman dan Leopold Alfonso Otong menjadi wira buat pasukan Sabah yang bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir bolasepak SUKMA di Std. Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Kejayaan Sabah ke final adalah yang pertama sejak SUKMA diperkenalkan pada tahun 1986.

Negeri Sembilan terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-2 permainan menerusi gol mudah akibat kelekaan pemain pertahanan Sabah.

Tersentak dari gol awal tersebut, Sabah mula menguasai permainan dengan melakukan serangan ke pintu gol lawan. Kemasukan penyerang, Zulmanshah Aling menggantikan Maxsius Musa di minit ke 37 merancakkan lagi serangan Sabah. Satu serangan Sabah menghasilkan sepakan percuma di luar kotak penalti apabila Leopold dikasari pada masa kecederaa separuh masa pertama.

Penyerang sensasi Sabah, Rozaimi Abd. Rahman yang mengambil sepakan percuma tersebut bijak melencongkan bola menerjah jaring pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Leopold Alfonso Otong yang melakukan hatrik pada perlawanan suku akhir menentang Selangor sekali lagi cemerlang apabila menyumbat gol kedua Sabah di minit ke-50.

Gol tersebut berpunca dari gerakan cantik pertahanan kiri, Denisi Mekhaddan yang berjaya melepasi halangan dua pemain lawan sebelum melintangkan bola untuk disudahkan Leopold.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk Sabah menempah tempat ke perlawanan akhir menentang pasukan Perak yang menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir akan dilangsungkan pada 14 Julai di Std. Darul Makmur, Kuantan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...