Aug 3, 2012

Sabah FA tolak tawaran Tero Sasana

Persatuan Bola Sepak Sabah telah menolak tawaran kelab Thailand, BEC Tero Sasana untuk bintang muda, Rozaimi Abd Rahman.

BEC Tero Sasana semalam telah menawarkan kontrak selama dua tahun kepada Rozaimi Abd Rahman tanpa perlu hadir ujian pemilihan.

Menurut akhbar Arena Metro, kelab liga utama Thailand itu memutuskan untuk menawarkan kontrak kepada Rozaimi selepas usaha untuk mendapatkan pemain Indonesia, Titus Bonai tidak berjaya.

Surat tawaran tersebut telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah, Alijus Sipil semalam oleh Pengarah Urusan Golden Sport Management, Zulfikar Amizan Ahamed yang membantu urusan perpindahan itu.

"Saya sudah menghubungi Alijus mengenai perkara ini dan berharap Safa dapat membuat keputusan sebelum tarikh tutup esok (hari ini).

"Bagi saya ini peluang terbaik untuk Rozaimi kerana BEC Tero Sasana memang amat berminat untuk menggunakan khidmatnya sehingga sanggup menawarkan kontrak tanpa menjalani ujian pemilihan seperti syarat sebelum ini," katanya kepada Arena Metro semalam.

BEC Tero Sasana telah menawarkan kontrak minimum selama dua tahun dengan bayaran gaji lumayan serta yuran perpindahan kepada Sabah FA.

Walaubagaimanapun Sabah FA semalam telah menolak tawaran itu atas sebab komitmen Rozaimi kepada Selangor untuk Piala Malaysia selama tiga bulan dan juga tugas bersama pasukan Harimau Malaya.

Selain itu Rozaimi juga masih mempunyai kontrak bersama Sabah sehingga 2014.

Sumber berita:
espnstar.my

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...