Feb 11, 2013

Menjelang perlawanan: Piala FA pusingan kedua Sabah vs Selangor

Piala FA pusingan ke-2 Sabah vs Selangor Selasa, 12 Feb 2013

Perlawanan Sabah vs Selangor dalam aksi pusingan kedua Piala FA petang esok bakal menjadi tumpuan semua peminat bolasepak tempatan memandangkan ia adalah satu-satunya perlawanan domestik yang dilangsungkan esok dikala kita masih dalam sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Sabah pasukan berstatus Liga Premier akan bertemu pasukan 'gergasi' dari Liga Super, Selangor dalam perlawanan 'kalah mati' yang berlangsung sekali lagi di Std Likas, venue yang sama ketika Sabah menumbangkan rakan seliga Selangor, Felda United dalam aksi pusingan pertama.

Sabah mahupun Selangor mara ke pusingan kedua selepas menempuh perlawanan yang 'perit' di pusingan pertama. Sabah memerlukan sedikit tuah untuk menundukkan Felda United 2-1 walaupun bermain baki 25 minit terakhir perlawanan dengan 10 pemain. Selangor pula memilih laluan yang lebih panjang dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti ke atas ATM.

Atas kertas, Selangor adalah pasukan pilihan atas status pasukan dari Liga Super yang ketika ini menduduki tangga ketiga berbanding pasukan Sabah yang berada di kelompok pertengahan Liga Premier. Barisan pemain dalam skuad Selangor juga menggambarkan betapa besarnya jurang antara dua pasukan ini. Harus diingat bahawa Selangor memiliki 5 pemain yang bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Qatar tempoh hari. Perlawanan persahabatan pra musim antara kedua pasukan sebelum ini yang berkesudahan Sabah tewas 0-3 seakan memberi gambaran awal bahawa perlawanan petang esok bakal dikuasai pasukan pelawat. Namun, jika kita melihat kepada aksi pasukan Sabah ketika menang ke atas Felda tempoh hari, tidak mustahil bagi pasukan kita melakar kejutan di hadapan penyokong kita sendiri sekali lagi.

Satu-satunya pemain yang pasti tidak akan tersenarai dalam skuad Sabah dalam perlawanan nanti adalah pemain tonggak, Shahrul Azhar Ture yang akan menjalani penggantungan dua perlawanan selepas mendapat 'straight red card' dalam perlawanan lepas. Selangor pula dikhabarkan akan tidak pasti sama ada dapat menurunkan dua utama mereka, Bunyamin Omar dan S. Kunanlan yang dilaporkan masih cedera. Jika benar perkhabaran ini, ianya sedikit memberi kelegaan buat pasukan Sabah menjelang perlawanan ini nanti. Antara pemain yang harus diberi tumpuan oleh barisan kesebelasan Sabah nanti adalah penyerang, Francis Forkey Doe dan Amri Yahyah serta dua pemain tengah, K. Gurusamy dan Abdul Shukor Jusoh.

Ketiadaan Shahrul Azhar mungkin sedikit menjejaskan rentak permainan Sabah kerana Shahrul adalah antara pemain yang menonjol dalam setiap perlawanan Sabah musim ini. Alto Linus adalah calon terbaik mengisi tempat di pertahanan kanan  dengan Rhys Weston dan Shahril Faizal bergandingan di pertahanan tengah. Sumardi mungkin akan kekal di sebelah kiri sambil Rosdin Wasli akan diberi tugas sekali lagi sebagai Defensive Midfielder yang ternyata berkesan pada perlawanan lalu. Radzi Husin dan Juffrey Omopor mungkin akan mendapat kepercayaan dari jurulatih untuk diturunkan sekali lagi dalam perlawanan ini. Di bahagian sayap kanan, Leopold adalah calon terbaik berbanding Shahrudin Yakup yang diilihat semakin merosot prestasinya. Jika diberi pilihan, gandingan Traore-Zainizam mungkin yang terbaik buat pasukan kita merobek gawang lawan.

Apapun keputusannya esok, kita seharusnya sudah ada 'modal' untuk berbangga kerana kita telah melangkah ke pusingan kedua selepas kali terakhir melakukannya di musim 2008. Lebih-lebih lagi lawan yang kita temui di pusingan ini adalah pasukan yang sememangnya pasukan 'elit' yang rasa-rasanya sudah sekian lama kita tidak kalahkan. Namun, kita tetap optimis kepada kemampuan pasukan kita berbekalkan semangat melawan yang ada pada pemain. Adakah Selangor akan menjadi 'mangsa' seterusnya Sabah di Likas esok? Sama-sama kita nantikan...

SABAH TATAP!!!!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...