Mar 30, 2013

Liga Perdana: Perlis vs Sabah 29 Mac 2013

Keputusan Liga Perdana 29 Mac 2013: Perlis vs Sabah


PERLIS (1)
Mohd Abd Ghafar 87'

vs

SABAH (1)
Koh Traore 11'


Hanya tiga minit menjadi pemisah kepada kemenangan pertama pasukan Sabah di tempat lawan musim ini menentang pasukan tuan rumah Perlis di Stadium Kangar petang kelmarin. Namun, kelekaan barisan pertahanan di penghujung perlawanan menidakkan tiga mata berharga buat pasukan Sabah apabila hanya sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Penyerang import, Koh Traore (gambar) melakukan jaringan pendahuluan buat pasukan Sabah pada minit ke 11 apabila mudah menolak masuk hantaran lintang dari Alto Linus dari jarak dekat. Gol ini adalah yang ke enam dalam empat perlawanan terakhir buat pemain ini yang kini mengumpul tujuh gol.

Sabah dilihat banyak mengawal permainan dan memiliki sekurang-kurang empat peluang terbuka untuk menambah jaringan di awal permainan namun gagal diterjemah ke gawang gol.

Gol penyamaan Perlis hadir pada minit ke 87 menerusi Mohd Abd Ghafar yang menolak masuk bola dari dalam kotak penalti selepas pemain-pemain Sabah gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil dari sepakan sudut.

Walaupun kecewa, jurulatih Sabah, David McCreery tetap berpuashati dengan persembahan pemain-pemainnya dan menambah bahawa masih ada ruang penambahbaikan kepada pasukan dalam persiapan menghadapi saingan liga di pusingan kedua nanti.

Pemain import pertahanan, Rhys David Weston yang sebelum ini cedera, kembali beraksi dalam perlawanan itu walaupun hanya dimasukkan dalam 15 minit terakhir.

Sabah menamatkan kempen liga di pusingan pertama di kedudukan ke tujuh dengan memungut 12 mata hasil daripada tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.

Sabah akan bertemu Perlis untuk perlawanan seterusnya pada 12 April di Stadium Likas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...