26 Apr 2013

Sabah vs KL Sime Darby 1-5 26 April 2013

Liga Premier: Keputusan penuh Sabah vs KL Sime Darby 26/4/13

Keputusan:

SABAH (1)
Alto Linus 85'

VS

KL SIME DARBY (5)
Karlo Primorac 20', 28', 41', 90+2'
Razid Gapar g.s 87'



Statistik perlawanan (Sabah / Sime Darby):
Penguasaan bola (%): 52/48
Jumlah percubaan (tepat): 10(3)/13(5)
Sepakan sudut: 3/6
Offside: 0/5
Kad kuning: 2/2

Highlights perlawanan:
7'- Shahrudin melakukan percubaan dari luar kotak penalti tetapi sedikit keluar di sebelah kiri gawang
9'- Tandukan Fahrul Razi hasil hantaran jauh Fazrul Hazli dalam kotak penalti sedikit melewati palang
12'- Fahrul Razi melakukan percubaan rendah dari luar kotak penalti yang tersasar di sebelah kanan
20'- Gol!!! Karlo Primorac mudah menewaskan Sharil selepas menerima hantaran dari Fazrul Hazli. Sabah 0-1 Sime Darby
22'- Zainizam berjaya melepaskan diri di sebelah kiri namun hantaran dari jarak dekat berjaya dibaca penjaga gol
26'- Tandukan Alto Linus dari sepakan percuma Shahrul tinggi melepasi palang gol
28'- Gol!!! Karlo bijak membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Sharil. Sabah 0-2 Sime Darby
32'- Koh Traore melakukan percubaan betul-betul di luar kotak penalti namun sedikit tinggi diatas palang gol
34'- Zainizam berjaya mengelecek dua pemain pertahanan dalam kotak penalti namun percubaannya tidak cukup padu berjaya ditampan penjaga gol sebelum dikeluarkan oleh pertahanan lawan
36'- Traore mencuba lagi dari luar kotak penalti dengan kaki kiri tetapi sekali lagi sedikit tinggi melepasi palang
41'- Gol!!! Hafizulldin gagal menampan bola hantaran jauh Mohd Firdaus dalam kotak penalti sebelum Karlo mencuri bola dan melepaskan sepakan leret menewaskan Sharil. Sabah 0-3 Sime Darby
45'- Percubaan jauh Traore tersasar.
45+1'- Percubaan pemain Sime Darby hasil dari gerakan sepakan sudut tersasar
Tamat separuh masa pertama.

46'- Tandukan Fazrul Hazli dari sepakan sudut mengenai palang sebelum keluar
50'- Koh Traore gagal melakukan sepakan yang kemas dihadapan pintu gol selepas menerima hantaran Alto di sebelah kiri
52'- Tandukan pemain Sime Darby dari sepakan sudut tertampan pemain sendiri walaupun Sharil sudah tertewas
53'- Kapten Sime Darby, Mohd Arif melakukan percubaan rendah di dalam kotak penalti tetapi terkena tiang sebelum keluar
55'- Traore mendapat hantaran jauh dari Shahrul sebelum melepaskan sepakan namun tinggi diatas palang
58'- Zainizam membuat umpanan cantik buat Traore yang melepaskan rembatan voli kencang dalam kotak penalti yang berjaya ditepis penjaga gol
63'- Penyerang Sime Darby berjaya melepasi perangkap off side namun Sharil berjaya menampan bola keluar dari percubaan lemah pemain itu
64'- Karlo mudah mendapat ruang dalam kotak penalti sebelum melepaskan percubaan rendah yang sedikit ditepis Sharil sebelum bola terkena tiang dan keluar
70'- Percubaan leret Azmirul Azmi dari luar mudah diselamatkan Sharil
76'- Percubaan Karlo dari luar kotak penalti diselamatkan Sharil
85'- Gol!!! Alto Linus yang menerima umpanan Traore melakukan sepakan rendah dari sebelah kiri menewaskan penjaga gol lawan. Sabah 1-3 Sime Darby
87'- Gol!!! Karlo melepasi perangkap offside sebelum berdepan dengan Sharil. Percubaan pertamanya ditampan Sharil namun percubaan keduanya dari sudut sukar terkena tiang sebelum Razid tertolak bola masuk ke gawang. Sabah 1-4 Sime Darby
90+2'- Gol!!! Bermula dari kesilapan Hardy yang gagal menghantar bola dengan kemas, Syukur Saidin melarikan bola sebelum menghantar kepada Karlo yang tidak dikawal dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharil. Sabah 1-5 Sime Darby
90+3'- Tamat perlawanan. Sabah 1-5 Sime Darby

Kesebelasan Sabah:
Sharil Sa'ari (GK), Hardy Charles Parsi (capt), Mohd. Hafizulldin (Razid Gapar 73'), Julamri Muhd, Shahrul Azhar Ture, Radzi Husin, Abdelfatah Safi, Shahrudin Yakup (Khairul Izwan 88'), Alto Linus, Zainizam Marjan dan Koh Traore

Kad kuning: Shahrudin Yakup 51', Zainizam Marjan 54'

Menjelang perlawanan Sabah vs Sime Darby - Misi besar Sabah di Likas

Liga Premier: Sabah vs KL Sime Darby 26 April 2013

Misi besar Sabah di Likas

Misi besar menanti Sabah di Stadium Likas petang ini apabila bertemu dengan pasukan pendahulu liga, KL Sime Darby. Selepas mencatat dua kemenangan 'back-to-back' ke atas Perlis dan KL SPA dalam dua perlawanan terakhir, Sabah pastinya ingin meneruskan rentak kemenangan bagi terus mengukuhkan kedudukan mereka di carta liga.

Lawan mereka petang ini adalah pasukan yang bukan calang-calang kerana belum lagi tewas selepas 13 perlawanan liga musim ini. Prestasi pasukan lawan dilihat 'menggerunkan' dengan 10 kemenangan, 3 seri, tanpa kekalahan dan berada 15 mata mendahului pasukan Sabah. Mereka juga mencatatkan 29 jaringan dan hanya bolos 7, ternyata satu jurang kelebihan yang besar berbanding Sabah. Namun, itu bukanlah ukuran sebenar kepada peluang kedua-dua pasukan di atas padang pada petang ini kerana pasukan Sabah juga tidak kurang hebatnya selepas melakar 6 perlawanan berturut-turut tanpa kalah.

Misi utama pasukan Sabah pastinya untuk memungut tiga mata penuh sekaligus menebus dendam tewas kepada pasukan sama 1-3 di pusingan pertama di tempat lawan. Namun, ianya akan menjadi lebih manis lagi kiranya Sabah akan menjadi pasukan yang meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga ini.
 
Pemain import baru....Abdelfatah Safi
Skuad Sabah pastinya dalam 'mood' yang terbaik selepas menerima kehadiran pemain baru dalam skuad mereka iaitu pemain import baru, Abdelfatah Safi yang menggantikan Rhys David Weston. Dikhabarkan bahawa Safi akan melakukan penampilan pertama dalam perlawanan petang ini. Jika benar, bekas pemain Kedah musim 2012 ini akan memperkuatkan bahagian tengah pasukan Sabah yang dilihat bahagian yang paling bermasalah musim ini.

Koh Traore pastinya akan terus menjadi tumpuan lagi selepas melakar 10 jaringan dalam 6 perlawanan terakhir. Pertembungan dua penyerang import yang kini bersaing sebagai penjaring terbanyak liga iaitu Traore dan Karlo Primorac akan menjadikan perlawanan ini menarik untuk disaksikan.

Kepada para peminat dan penyokong Sabah...ayuh kita gegarkan Likas petang ini!!!
Semoga berjaya Sabah!!!

20 Apr 2013

Keputusan penuh KL SPA vs Sabah 19 April 2013

Liga Premier: Keputusan penuh KL SPA vs Sabah 2-4 19/4/13

Keputusan:

KL SPA (2)
Mohd. Norhafizzuan 23'
Mohd. Asyidi Asyar 75'

VS

SABAH (4)
Koh Traore 3', 73'
Shahrudin Yakup 36'
Zainizam Marjan 52'

Sabah catat kemenangan berganda

Sabah meneruskan rentak cemerlang mereka dalam kempen Liga Premier dengan mencatat kemenangan ke-5 mereka selepas menewaskan pasukan KL SPA Putrajaya 4-2 di Stadium UiTM, Shah Alam petang kelmarin. Lebih manis, ini adalah kemenangan pertama Sabah di tempat lawan musim ini dan juga yang pertama selepas kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Johor dalam saingan Piala Malaysia musim 2011.

Penyerang berbisa Sabah, Koh Traore meneruskan ledakan berbisanya apabila menyumbat dua gol dalam perlawanan ini dengan pemain sayap, Shahrudin Yakup dan penyerang veteran, Zainizam Marjan masing-masing menyumbang satu gol.

Traore yang dikritik hebat di awal musim kini mengumpul 12 gol dalam semua pertandingan dengan 10 daripada gol tersebut dihasilkan dalam 6 perlawanan terakhir.

Sabah bermula garang apabila mendahului seawal minit ke 3 menerusi Traore sebelum SPA menyamakan kedudukan diminit ke 23. Shahrudin bagaimanapun kembali meletakkan Sabah di depan pada minit ke 36 untuk Sabah mendahului 2-1 di separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Sabah tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan dan kali ini menerusi Zainizam Marjan pada minit ke 52 yang juga gol pertamanya musim ini.

Traore menambah derita pasukan tuan rumah dengan gol keempat di minit ke 73 sebelum SPA merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi Asyidi Asyar.

Aksi hebat Sabah bagaimanapun dicacatkan dengan layangan kad merah ke atas pemain pertahanan, Shahril Faizal diminit ke 77 selepas mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan itu. Walaupun bermain 10 pemain, Sabah kebal menyerap serangan pasukan lawan hingga ke wisel penamat untuk menang dengan jaringan 4-2.

Kemenangan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Sabah dalam carta liga di tangga ke 7 selepas dua lagi pesaing terdekat KL Pos dan PDRM masing-masing menang untuk mengatasi Sabah menerusi perbezaan jurang gol.

Sabah kini mengutip 18 mata hasil dari 5 kemenangan, 3 seri dan 5 kekalahan. Sabah akan menentang pendahulu liga, Sime Darby dalam perlawanan seterusnya pada 26 April di Stadium Likas.

-sabahawkians.blogspot.com-

12 Apr 2013

Sabah vs Perlis 3-2 12 April 2013

Keputusan penuh Liga Premier 12 April 2013: Sabah vs Perlis 3-2

Keputusan penuh:

SABAH (3)
Koh Traore 3', 27'
Farouk Hashim g.s 60'

VS

PERLIS (2)
Md Badrul Hisani 30'
Muhd. Nasri Ahmad Thauhid 43'

Tiga mata buat Sabah

Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan kemenangan ke empat dalam kempen Liga Perdana musim ini dengan menewaskan pasukan pelawat Perlis 3-2 di Stadium Likas petang tadi. Walaubagaimana pun Sabah memerlukan jaringan gol sendiri dari pemain Perlis di separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan tipis ini walaupun satu ketika mendahului pasukan lawan 2-0.

Koh Traore sekali lagi menunjukkan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini sebelum Badrul Hisani dan Muhd Nasri membalas buat pasukan Perlis untuk kedudukan separuh masa pertama terikat 2-2.

Perlawanan bermula dengan Perlis terlebih dahulu melakukan serangan di minit pertama perlawanan apabila penyerang mereka berjaya melepasi pertahanan Sabah tetapi sepakan leretnya tersasar walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol.

Sabah tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan apabila Traore bijak melepasi kawalan pertahanan untuk menanduk masuk bola hasil sepakan sudut oleh Shahrudin Yakup pada minit ke-3.

Perlis kemudian dilihat banyak menguasai bola selepas itu dan melakukan beberapa percubaan merbahaya di depan pintu gol Sabah termasuk satu percubaan jauh yang sedikit mengenai palang. 

Koh Traore terus cemerlang dengan gol kedua di minit ke 27 apabila mudah merembat masuk bola hantaran Zainizam yang mengambil peluang dari kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan percuma Shahrul Azhar Ture.

Perlis bagaimanapun merapatkan jaringan tiga minit kemudian menerusi Badrul Hisani yang tidak dikawal dalam kotak penalti merembat kencang bola hantaran lintang dari sebelah kanan selepas satu serangan balas.

Rosdin Wasli sepatutnya boleh menggandakan jaringan diminit ke 34 namun tandukannya hasil dari sepakan sudut tepat ke arah penjaga gol walaupun tidak dikawal.

Kelekaan pertahanan Sabah dihukum pemain Perlis menerusi Muhd Nasri di minit ke 43 apabila mudah menolak masuk bola ke gawang dari jarak dekat selepas mendapat umpanan dari luar kotak penalti. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 2-2.

Bersambung di babak kedua, Perlis dilihat lebih banyak mengawal bola sehinggalah kemasukan Rhys David Weston yang menggantikan Didie Arizal diminit ke 58. Dua minit kemudian, David melakukan hantaran cantik buat Julamri yang berjaya melepasi seorang pertahanan dari sebelah kiri sebelum melakukan hantaran silang yang tertampan oleh Farouk Hashim ke dalam gawang untuk gol ketiga Sabah.

Seminit kemudian, tandukan Alto Linus hasil hantaran lintang Traore sedikit tinggi di atas palang manakala percubaan leret jauh pemain Perlis tiga minit kemudian tersasar.

Peluang terbuka buat Traore untuk mencipta hatrik tiba diminit ke 72 tetapi beliau gagal melakukan kuisan 'backheel' yang sempurna hasil hantaran silang Shahrudin. 

Perlis pula mensia-siakan sepakan percuma diluar kotak penalti pada minit ke 80 sebelum rembatan padu dari jauh oleh Shahrul Azhar Ture seminit kemudian hanya sedikit terkeluar sebelah kanan tiang gol.

Kedudukan kekal sehingga bunyi wisel penamat dibunyikan untuk Sabah meraih tiga mata penuh dan meneruskan rentetan tanpa kalah kepada lima perlawanan. Sabah kini mengumpul 15 mata hasil dari empat kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan untuk berada di tangga ke tujuh liga.

Perlawanan seterusnya membabitkan pasukan Sabah adalah pada 19 April menentang KL SPA di Std. UiTM, Shah Alam.

-sabahawkians.blogspot.com-

10 Apr 2013

Sorotan perlawanan Liga Premier Sabah pusingan pertama

Soroton perlawanan Sabah pusingan pertama

1. Sabah vs KL SPA 7 Jan 2013
Keputusan: Menang 2-1
Sab: Shahrul Azhar Ture 5', 72'
SPA: Rhys David Weston g.s 28'
Kedudukan: 4

Perlawanan pembukaan musim yang baik buat Sabah walaupun permainan kurang mantap. Shahrul Azhar Ture yang bermain di posisi pertahanan kanan layak mendapat pengiktirafan "man of the match" menerusi sumbangan dua gol dari sepakan percuma dan penalti. Pemain import baru, Rhys David Weston membuat debut yang malang dengan melakukan jaringan sendiri sebelum keluar akibat kecederaan. Kemenangan pembukaan liga menempatkan Sabah ditangga ke 4 liga yang juga merupakan kedudukan terbaik sepanjang saingan liga pusingan pertama.

2. KL Sime Darby vs Sabah 11 Jan 2013
Keputusan: Kalah 3-1
Sime: Fahrul Razi 45', Karlo Promorac 56'Sumardi Hajalan g.s 67'
Sab: Koh Traore 13'
Kedudukan: 8

Perlawanan digembar gembur sebagai pertemuan menarik yang membabitkan dua pesaing kejuaraan liga, namun sebaliknya tidak berlaku. Sime Darby memanfaatkan kelekaan pertahanan Sabah dengan melakar dua gol mudah menerusi Fahrul Razi dan Karlo Primorac walaupun penyerang import Sabah, Koh Traore melakar jaringan sulung yang juga gol pendahuluan di awal permainan. Buat kali kedua, Sabah melakukan jaringan sendiri dan kali ini menerusi Sumardi Hajalan.

3. Sabah vs NS Betaria 14 Jan 2013
Keputusan: Menang 2-0
Sab: Shahrudin Yakup 21', Tomas Chavonec g.s 84'
Kedudukan: 5

Perlawanan menentang NS Betaria adalah antara perlawanan yang terbaik Sabah dalam liga di pusingan pertama. Penguasaan penuh permainan oleh pasukan Sabah dengan pasukan lawan dilihat lebih 'berminat' untuk meminimumkan jurang jaringan kekalahan. Penjaring terbanyak Sabah musim lalu, Shahrudin Yakup melakukan jaringan 'fluke' di separuh masa pertama. Jaringan gol sendiri terhasil buat kali ke tiga perlawanan berturut-turut tetapi kali ini sumbangan pemain lawan pada penghujung perlawanan untuk gol kedua Sabah.

4. Kuala Lumpur vs Sabah 18 Jan 2013
Keputusan: Kalah 3-2
KL: Khairul Anuar Shafie 37'Badrul Hisyam Azmi 62', 89'
Sab: Rosdin Wasli 4', Alto Linus 71'
Kedudukan: 6

Perlawanan yang pada awalnya dianggap mudah buat pasukan Sabah yang turun menentang pasukan tercorot liga ketika itu, Kuala Lumpur yang bolos 12 gol dalam tiga perlawanan pembukaan. Pesta gol bagi terbayang apabila Rosdin melakukan jaringan di awal permainan tetapi selepas itu, Kuala Lumpur dilihat lebih banyak menekan pasukan Sabah. Dua gol Badrul Hisyam termasuk gol pemusnah di minit terakhir perlawanan menghadiahkan kemenangan pertama Kuala Lumpur selepas mengharungi 29 perlawanan Liga M tanpa kemenangan.

5. Sabah vs Kedah 21 Jan 2013
Keputusan: Kalah 0-2
Ked: Khyril Muhymeen 40', Muhd. Fiqry Md Isa 80'
Kedudukan: 7

Rombakan keatas pasukan yang tewas kepada Kuala Lumpur ternyata tidak membawa 'makna' apabila tewas buat kali pertama di Std Likas musim ini ditangan Kedah. 'Eksperimen' terbaru dari David McCreery dengan menggandingkan Wan Alif dan Khairul Izwan di bahagian serangan dan Fazilidin dan Rosdin di tengah ternyata 'gagal' sama sekali. Kedah lebih banyak menguasai permainan di tengah padang dan bermain dengan selesa seolah-olah mereka bermain di tempat sendiri. Dua jaringan mudah pasukan lawan masing-masing di setiap babak terhasil menerusi gerakan di sebelah kanan dengan pertahanan Sabah jelas dilihat leka melihat pergerakan pemain lawan. Aksi menarik dari dua bekas pemain Sabah, Zuraindey Jumai dan Fariss Azlan pastinya memberi 'tamparan' hebat buat SAFA.

6. UiTM FC vs Sabah 15 Feb 2013
Keputusan: Kalah 2-0
UiTM: Mohd Adam Syahir Rosli 58', Muhd Hafizuddin Harun 90'
Kedudukan: 8

Perlawanan yang disifatkan paling 'sensasi' musim ini dan yang kedua 'terhitam' selepas tragedi 9-0 musim lalu. UiTM FC adalah pasukan yang masuk ke Liga Perdana menerusi 'pintu belakang' selepas menggantikan pasukan yang menarik diri dari liga sebelum liga bermula. Dengan status 'budak-budak universiti' yang menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata dan jaringan, perlawanan ini dianggap sebagai 'kacang' buat pasukan Sabah. Namun, sebaliknya berlaku apabila pasukan tuan rumah bijak memanfaatkan peluang yang mereka ada ke jaring berbanding pasukan Sabah yang gagal menemui jaring gol walaupun banyak mengasak lawan. Keputusan memalukan ini sekali lagi menjadi buah mulut kalangan peminat tempatan yang dilihat 'panas' dengan kekalahan tersebut.

7. Sabah vs KL POS 18 Feb 2013

Keputusan: Kalah 1-2
Sab: Alto Linus 9'
Pos: Mohd Saufi Ibrahim 5', 65'  
Kedudukan: 8

Selepas UiTM FC, giliran pasukan 'posmen' memalukan pasukan Sabah kali ini di tempat sendiri untuk memberikan kekalahan empat perlawanan berturut-turut buat pasukan Sabah musim ini. Alto Linus melakukan jaringan yang dilihat antara menarik musim ini untuk gol kedua peribadi musim ini namun gagal mengatasi aksi lebih hebat penyerang lawan, Mohd Saufi Ibrahim yang menjadi hero buat pasukannya dengan dua gol.

8. PDRM vs Sabah 22 Feb 2013
Keputusan: Seri 3-3
PDRM: Mohd Fauzi Majid 16'Mohd Khairul Akhyar 31'Shahril Faizal g.s 37'
Sab: Koh Traore 66', 68', pen 90+4'  
Kedudukan: 10

Perlawanan paling 'menarik' dan paling 'diingati' sepanjang kempen liga pusingan pertama. Ketika seakan-akan menuju kepada kekalahan kelima berturut-turut dengan ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, Sabah melakukan 'comeback' dengan tiga gol di separuh masa kedua menerusi Koh Traore termasuk satu gol di minit-minit akhir perlawanan. Hatrik pertama buat Koh Traore selepas gagal melakukan jaringan dalam lima perlawanan terakhir liga. Pertahanan Sabah, Shahril Faizal yang melakukan gol sendiri dalam perlawanan ini adalah yang ketiga dalam pasukan Sabah musim ini. Keputusan seri pertama dalam liga gagal memperbaiki kedudukan malah jatuh ke tangga ke-10 yang juga terburuk dalam liga setakat ini.

9. Sabah vs Johor 1 Mac 2013

Keputusan: Menang 3-2
Sab: Koh Traore 2', 82', Shahrul Azhar Ture 39'
Joh: Mohd Rashid Aya 21', Mohd Izuan Jarudin 90+2'

Kedudukan: 8

Perlawanan yang terbaik pasukan Sabah dalam liga setakat ini dengan melakar kemenangan ke atas pasukan di tangga ke-3 liga, Johor. Koh Traore meneruskan aksi cemerlangnya dengan sumbangan dua gol di setiap babak manakala satu lagi jaringan adalah dari Shahrul Azhar yang juga gol yang paling menarik musim ini menerusi satu rembatan jarak jauh. Walaupun bermain baik, Johor nampaknya kurang bernasib baik dengan beberapa percubaan dinafikan oleh palang atau tiang. Kebangkitan pasukan lawan di penghujung perlawanan gagal menafikan kemenangan ketiga Sabah musim ini untuk melonjak kedudukan ke tangga ke 8.

10. Sarawak vs Sabah 8 Mac 2013

Keputusan: Seri 0-0
Kedudukan: 7

Perlawanan 'derby' dua pasukan jiran yang sememangnya menarik lebih-lebih lagi pasukan Sarawak yang memiliki tiga pemain buangan Sabah, Bobby, Ronny dan Mafry. Sarawak yang berada di tangga kedua liga dengan 13 mata mengatasi Sabah gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila diikat tanpa jaringan. Perlawanan dilihat seimbang pada awal perlawanan namun Sarawak lebih banyak memberi tekanan kepada pasukan Sabah terutama sekali di separuh masa kedua. Sabah kekal kebal sehingga tamat perlawanan untuk mendapat 'clean sheet' buat kali kedua musim ini sekaligus melonjakkan kedudukan ke tangga ke 7 liga.

11. Perlis vs Sabah 29 Mac 2013
Keputusan: Seri 1-1
Per: Mohd Abd Ghafar 87'
Sab: Koh Traore 11'
Kedudukan: 7

Perlawanan penutup pusingan pertama menentang pasukan yang sukar diramal, Perlis. Tewas 1-6 ditangan pasukan Johor sebelum perlawanan tidak menggambarkan kelemahan pasukan ini apabila berjaya mengikat Sabah 1-1. Walaupun Sabah bermula baik dengan Koh Traore menyumbat gol ke 7 peribadi musim ini di awal perlawanan, Perlis mengambil peluang diatas kesilapan pertahanan Sabah di penghujung perlawanan untuk menafikan tiga mata buat Sabah. Keputusan seri ini adalah yang ketiga buat Sabah dalam empat perlawanan terakhir untuk memberikan sedikit kebanggaan buat pasukan yang tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir liga. Sabah menamatkan aksi pusingan pertama liga di tangga ke 7  dengan memungut 12 mata hasil dari tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.

7 Apr 2013

Senarai penjaring gol Liga Perdana 2013

Senarai penjaring gol Liga Perdana 2013 | Penjaring terbanyak Liga Perdana Malaysia 2013

Senarai penjaring Liga Perdana - Perlawanan #11 12 April 2013

12 Gol
Karlo Primorac (Sime Darby), Juan Muriel Orlando (Johor)

9 Gol
Koh Traore (Sabah)

8 Gol
Mohd Farid Ideris (Johor) 

7 Gol
Mohd Saufi Ibrahim (KL Pos)

5 Gol
Bobby Gonzales, Ivan Babic (Sarawak), Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Mohd Fazrul Hazli Kadri (Sime Darby)

4 Gol
Khairul Izuan Abdullah, Muhd Khairul Akhyar (PDRM), Badrul Hisyam Azmi (KL)

3 Gol
Mohd Farizal Rozali, Mohd Hanifudin Abd Rahman, Khairol Azry Abdul Rahman (KL SPA), Khairul Amar Kasim (PDRM), Dennis Antwi, Romdhizat Jamian, Md Badrul Hisani Abd Rahman (Perlis), Shahrul Azhar Ture (Sabah), Nelson San Martin, Baddrol Bakhtiar (Kedah), Muhd. Zamri Hasan (Johor)

2 Gol
Dzul Haikal Shamery, Kaye Edrisar, Mohd Afif Amiruddin, Wan Zaman Wan Mustafa (PDRM), Tomas Chovanec, Mohd Affendi Mohd Ishak (NS Betaria), Alto Linus (Sabah), Syafwan Syahlan, Khairul Anuar Shafie, Munir Amran (KL), Mohd Arif Ismail, Mohd Fadzli Saari (Sime Darby), Ahmad Faizal Sumar, Mohd. Nasri Ahmad (Perlis), Joseph Kalang Tie, Guy Bwele, Azizan Baba (Sarawak), Mohd Farid Ramli (Johor), Muhd Nursalam Zainal Abidin, Muhd Hafizuddin Harun, Mohd Adam Syahir Rosli (UiTM), Muhd Hasnan Mat Isa (KL Pos)


1 Gol
Shahrudin Yakup, Rosdin Wasli (Sabah), Syed Abd Ghafar (Perlis), Muhd Syafiq Johari, Rafef Raya (KL), Muhd Nur Hakim Adzhar, Abdul Saufi Ibrahim, Muhd Azreen Zulkafali, Muhd Hafizi Amiruddin, S. Sumindran (KL Pos), Muhamadu Sumare, Mohd Khairol Abedol Latif, Mohd Fauzi Abd Majid (PDRM), Fahrul Razi Kamaruddin, Mohd Yusof Zainal Abidin, Dzulfahmi Abd Hadi, Azmirul Azmi, K Prabakaran, Goran Perak (Sime Darby), Fadzly Iskandar Adnan, Sazali Suwandi, Muhd Asyidi Dil Ashar Yusof, Raja Mohd Hafillah Raja Mamat, A. Puvanarajah, Mohd Arsyah Ayob (KL SPA), Jasazrin Jamaludin, Mohd Izuan Jarudin, Mohd Khairul Ismail, Mohd Rashid Mohd Aya, Mohd Shoufiq Mohd Kusaini, Andre Francisco De Silva, Mohd Alif Yusof (Johor), Azizan Saperi, Mohd Hairol Mokhtar (Sarawak), Muhd Fiqkry Md Isa, Mohd Faizal Abu Bakar, Akhmal Rizal Rakhli, Shazuan Ashraf Mathews (Kedah), Mohd Hakim Zainol, Nik Syafiq Syazwan, Afham Zulkipeli, Adam Othman Arfah (UiTM), Zailan Mohamad, S. Harivarman, Effendi Abd Malik (NS Betaria)

Gol sendiri
Rhys David Weston, Sumardi Hajalan, Shahril Faizal (Sabah), Tomas Chovanec (NS Betaria), Hasni Zaizi Jamlan (Johor), Muhd. Nazmi Baharom (UiTM FC), Farouk Hashim (Perlis)

Last update - 12 April 2013

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...