26 Apr 2013

Menjelang perlawanan Sabah vs Sime Darby - Misi besar Sabah di Likas

Liga Premier: Sabah vs KL Sime Darby 26 April 2013

Misi besar Sabah di Likas

Misi besar menanti Sabah di Stadium Likas petang ini apabila bertemu dengan pasukan pendahulu liga, KL Sime Darby. Selepas mencatat dua kemenangan 'back-to-back' ke atas Perlis dan KL SPA dalam dua perlawanan terakhir, Sabah pastinya ingin meneruskan rentak kemenangan bagi terus mengukuhkan kedudukan mereka di carta liga.

Lawan mereka petang ini adalah pasukan yang bukan calang-calang kerana belum lagi tewas selepas 13 perlawanan liga musim ini. Prestasi pasukan lawan dilihat 'menggerunkan' dengan 10 kemenangan, 3 seri, tanpa kekalahan dan berada 15 mata mendahului pasukan Sabah. Mereka juga mencatatkan 29 jaringan dan hanya bolos 7, ternyata satu jurang kelebihan yang besar berbanding Sabah. Namun, itu bukanlah ukuran sebenar kepada peluang kedua-dua pasukan di atas padang pada petang ini kerana pasukan Sabah juga tidak kurang hebatnya selepas melakar 6 perlawanan berturut-turut tanpa kalah.

Misi utama pasukan Sabah pastinya untuk memungut tiga mata penuh sekaligus menebus dendam tewas kepada pasukan sama 1-3 di pusingan pertama di tempat lawan. Namun, ianya akan menjadi lebih manis lagi kiranya Sabah akan menjadi pasukan yang meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga ini.
 
Pemain import baru....Abdelfatah Safi
Skuad Sabah pastinya dalam 'mood' yang terbaik selepas menerima kehadiran pemain baru dalam skuad mereka iaitu pemain import baru, Abdelfatah Safi yang menggantikan Rhys David Weston. Dikhabarkan bahawa Safi akan melakukan penampilan pertama dalam perlawanan petang ini. Jika benar, bekas pemain Kedah musim 2012 ini akan memperkuatkan bahagian tengah pasukan Sabah yang dilihat bahagian yang paling bermasalah musim ini.

Koh Traore pastinya akan terus menjadi tumpuan lagi selepas melakar 10 jaringan dalam 6 perlawanan terakhir. Pertembungan dua penyerang import yang kini bersaing sebagai penjaring terbanyak liga iaitu Traore dan Karlo Primorac akan menjadikan perlawanan ini menarik untuk disaksikan.

Kepada para peminat dan penyokong Sabah...ayuh kita gegarkan Likas petang ini!!!
Semoga berjaya Sabah!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...