10 Apr 2013

Sorotan perlawanan Liga Premier Sabah pusingan pertama

Soroton perlawanan Sabah pusingan pertama

1. Sabah vs KL SPA 7 Jan 2013
Keputusan: Menang 2-1
Sab: Shahrul Azhar Ture 5', 72'
SPA: Rhys David Weston g.s 28'
Kedudukan: 4

Perlawanan pembukaan musim yang baik buat Sabah walaupun permainan kurang mantap. Shahrul Azhar Ture yang bermain di posisi pertahanan kanan layak mendapat pengiktirafan "man of the match" menerusi sumbangan dua gol dari sepakan percuma dan penalti. Pemain import baru, Rhys David Weston membuat debut yang malang dengan melakukan jaringan sendiri sebelum keluar akibat kecederaan. Kemenangan pembukaan liga menempatkan Sabah ditangga ke 4 liga yang juga merupakan kedudukan terbaik sepanjang saingan liga pusingan pertama.

2. KL Sime Darby vs Sabah 11 Jan 2013
Keputusan: Kalah 3-1
Sime: Fahrul Razi 45', Karlo Promorac 56'Sumardi Hajalan g.s 67'
Sab: Koh Traore 13'
Kedudukan: 8

Perlawanan digembar gembur sebagai pertemuan menarik yang membabitkan dua pesaing kejuaraan liga, namun sebaliknya tidak berlaku. Sime Darby memanfaatkan kelekaan pertahanan Sabah dengan melakar dua gol mudah menerusi Fahrul Razi dan Karlo Primorac walaupun penyerang import Sabah, Koh Traore melakar jaringan sulung yang juga gol pendahuluan di awal permainan. Buat kali kedua, Sabah melakukan jaringan sendiri dan kali ini menerusi Sumardi Hajalan.

3. Sabah vs NS Betaria 14 Jan 2013
Keputusan: Menang 2-0
Sab: Shahrudin Yakup 21', Tomas Chavonec g.s 84'
Kedudukan: 5

Perlawanan menentang NS Betaria adalah antara perlawanan yang terbaik Sabah dalam liga di pusingan pertama. Penguasaan penuh permainan oleh pasukan Sabah dengan pasukan lawan dilihat lebih 'berminat' untuk meminimumkan jurang jaringan kekalahan. Penjaring terbanyak Sabah musim lalu, Shahrudin Yakup melakukan jaringan 'fluke' di separuh masa pertama. Jaringan gol sendiri terhasil buat kali ke tiga perlawanan berturut-turut tetapi kali ini sumbangan pemain lawan pada penghujung perlawanan untuk gol kedua Sabah.

4. Kuala Lumpur vs Sabah 18 Jan 2013
Keputusan: Kalah 3-2
KL: Khairul Anuar Shafie 37'Badrul Hisyam Azmi 62', 89'
Sab: Rosdin Wasli 4', Alto Linus 71'
Kedudukan: 6

Perlawanan yang pada awalnya dianggap mudah buat pasukan Sabah yang turun menentang pasukan tercorot liga ketika itu, Kuala Lumpur yang bolos 12 gol dalam tiga perlawanan pembukaan. Pesta gol bagi terbayang apabila Rosdin melakukan jaringan di awal permainan tetapi selepas itu, Kuala Lumpur dilihat lebih banyak menekan pasukan Sabah. Dua gol Badrul Hisyam termasuk gol pemusnah di minit terakhir perlawanan menghadiahkan kemenangan pertama Kuala Lumpur selepas mengharungi 29 perlawanan Liga M tanpa kemenangan.

5. Sabah vs Kedah 21 Jan 2013
Keputusan: Kalah 0-2
Ked: Khyril Muhymeen 40', Muhd. Fiqry Md Isa 80'
Kedudukan: 7

Rombakan keatas pasukan yang tewas kepada Kuala Lumpur ternyata tidak membawa 'makna' apabila tewas buat kali pertama di Std Likas musim ini ditangan Kedah. 'Eksperimen' terbaru dari David McCreery dengan menggandingkan Wan Alif dan Khairul Izwan di bahagian serangan dan Fazilidin dan Rosdin di tengah ternyata 'gagal' sama sekali. Kedah lebih banyak menguasai permainan di tengah padang dan bermain dengan selesa seolah-olah mereka bermain di tempat sendiri. Dua jaringan mudah pasukan lawan masing-masing di setiap babak terhasil menerusi gerakan di sebelah kanan dengan pertahanan Sabah jelas dilihat leka melihat pergerakan pemain lawan. Aksi menarik dari dua bekas pemain Sabah, Zuraindey Jumai dan Fariss Azlan pastinya memberi 'tamparan' hebat buat SAFA.

6. UiTM FC vs Sabah 15 Feb 2013
Keputusan: Kalah 2-0
UiTM: Mohd Adam Syahir Rosli 58', Muhd Hafizuddin Harun 90'
Kedudukan: 8

Perlawanan yang disifatkan paling 'sensasi' musim ini dan yang kedua 'terhitam' selepas tragedi 9-0 musim lalu. UiTM FC adalah pasukan yang masuk ke Liga Perdana menerusi 'pintu belakang' selepas menggantikan pasukan yang menarik diri dari liga sebelum liga bermula. Dengan status 'budak-budak universiti' yang menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata dan jaringan, perlawanan ini dianggap sebagai 'kacang' buat pasukan Sabah. Namun, sebaliknya berlaku apabila pasukan tuan rumah bijak memanfaatkan peluang yang mereka ada ke jaring berbanding pasukan Sabah yang gagal menemui jaring gol walaupun banyak mengasak lawan. Keputusan memalukan ini sekali lagi menjadi buah mulut kalangan peminat tempatan yang dilihat 'panas' dengan kekalahan tersebut.

7. Sabah vs KL POS 18 Feb 2013

Keputusan: Kalah 1-2
Sab: Alto Linus 9'
Pos: Mohd Saufi Ibrahim 5', 65'  
Kedudukan: 8

Selepas UiTM FC, giliran pasukan 'posmen' memalukan pasukan Sabah kali ini di tempat sendiri untuk memberikan kekalahan empat perlawanan berturut-turut buat pasukan Sabah musim ini. Alto Linus melakukan jaringan yang dilihat antara menarik musim ini untuk gol kedua peribadi musim ini namun gagal mengatasi aksi lebih hebat penyerang lawan, Mohd Saufi Ibrahim yang menjadi hero buat pasukannya dengan dua gol.

8. PDRM vs Sabah 22 Feb 2013
Keputusan: Seri 3-3
PDRM: Mohd Fauzi Majid 16'Mohd Khairul Akhyar 31'Shahril Faizal g.s 37'
Sab: Koh Traore 66', 68', pen 90+4'  
Kedudukan: 10

Perlawanan paling 'menarik' dan paling 'diingati' sepanjang kempen liga pusingan pertama. Ketika seakan-akan menuju kepada kekalahan kelima berturut-turut dengan ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, Sabah melakukan 'comeback' dengan tiga gol di separuh masa kedua menerusi Koh Traore termasuk satu gol di minit-minit akhir perlawanan. Hatrik pertama buat Koh Traore selepas gagal melakukan jaringan dalam lima perlawanan terakhir liga. Pertahanan Sabah, Shahril Faizal yang melakukan gol sendiri dalam perlawanan ini adalah yang ketiga dalam pasukan Sabah musim ini. Keputusan seri pertama dalam liga gagal memperbaiki kedudukan malah jatuh ke tangga ke-10 yang juga terburuk dalam liga setakat ini.

9. Sabah vs Johor 1 Mac 2013

Keputusan: Menang 3-2
Sab: Koh Traore 2', 82', Shahrul Azhar Ture 39'
Joh: Mohd Rashid Aya 21', Mohd Izuan Jarudin 90+2'

Kedudukan: 8

Perlawanan yang terbaik pasukan Sabah dalam liga setakat ini dengan melakar kemenangan ke atas pasukan di tangga ke-3 liga, Johor. Koh Traore meneruskan aksi cemerlangnya dengan sumbangan dua gol di setiap babak manakala satu lagi jaringan adalah dari Shahrul Azhar yang juga gol yang paling menarik musim ini menerusi satu rembatan jarak jauh. Walaupun bermain baik, Johor nampaknya kurang bernasib baik dengan beberapa percubaan dinafikan oleh palang atau tiang. Kebangkitan pasukan lawan di penghujung perlawanan gagal menafikan kemenangan ketiga Sabah musim ini untuk melonjak kedudukan ke tangga ke 8.

10. Sarawak vs Sabah 8 Mac 2013

Keputusan: Seri 0-0
Kedudukan: 7

Perlawanan 'derby' dua pasukan jiran yang sememangnya menarik lebih-lebih lagi pasukan Sarawak yang memiliki tiga pemain buangan Sabah, Bobby, Ronny dan Mafry. Sarawak yang berada di tangga kedua liga dengan 13 mata mengatasi Sabah gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila diikat tanpa jaringan. Perlawanan dilihat seimbang pada awal perlawanan namun Sarawak lebih banyak memberi tekanan kepada pasukan Sabah terutama sekali di separuh masa kedua. Sabah kekal kebal sehingga tamat perlawanan untuk mendapat 'clean sheet' buat kali kedua musim ini sekaligus melonjakkan kedudukan ke tangga ke 7 liga.

11. Perlis vs Sabah 29 Mac 2013
Keputusan: Seri 1-1
Per: Mohd Abd Ghafar 87'
Sab: Koh Traore 11'
Kedudukan: 7

Perlawanan penutup pusingan pertama menentang pasukan yang sukar diramal, Perlis. Tewas 1-6 ditangan pasukan Johor sebelum perlawanan tidak menggambarkan kelemahan pasukan ini apabila berjaya mengikat Sabah 1-1. Walaupun Sabah bermula baik dengan Koh Traore menyumbat gol ke 7 peribadi musim ini di awal perlawanan, Perlis mengambil peluang diatas kesilapan pertahanan Sabah di penghujung perlawanan untuk menafikan tiga mata buat Sabah. Keputusan seri ini adalah yang ketiga buat Sabah dalam empat perlawanan terakhir untuk memberikan sedikit kebanggaan buat pasukan yang tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir liga. Sabah menamatkan aksi pusingan pertama liga di tangga ke 7  dengan memungut 12 mata hasil dari tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...