Dec 28, 2013

Rozaimi ikat kontrak dua tahun bersama Sabah

Kota Kinabalu: Rozaimi Abdul Rahman sah bermain untuk Sabah musim depan. Penyerang kelahiran Bongawan itu telah diberi kontrak baru oleh Persatuan Bolasepak Sabah yang akan mengekalkannya bersama Sabahawks sehingga 2015.

Setiausaha Agung SAFA Alijus Hj Sipil mengesahkan perkara tersebut kelmarin. Katanya Rozaimi memilih bermain bersama Sabah walaupun mendapat tawaran lumayan dari pasukan-pasukan utama negara.

"Walaupun banyak pasukan cuba memancingnya ketika Sukan SEA di Myanmar baru-baru ini, Rozaimi memilih untuk kembali dan bermain untuk Sabah pada saat akhir pendaftaran, yang berakhir pada 17 Disember (2013)."

Menurut Alijus, Rozaimi telah bertemu dengannya sebaik kembali dari temasya sukan itu, tetapi hanya akan melaporkan diri pada 2 Januari 2014.

"Dia bertemu saya kelmarin dan dia telah meminta cuti pendek untuk bersama keluarganya selepas bersama pasukan kebangsaan selama lebih setahun," kata Alijus.

Dengan kepulangan Rozaimi, ianya pasti menguatkan pasukan negeri yang ketika ini dibawah pengawasan penuh bekas pemain skuad Sabah, Seslija Milomir dan dibantu oleh Justin Ganai.

Sumber:
New Sabah Times

Dec 20, 2013

Hendrik Helmke - Mengapa bukan Sabah

Mungkin anda masih ingat lagi dengan Hendrik Helmke yang kini beraksi untuk kelab Tromsø di Norway. Lebih menarik, kelab yang diwakili oleh Hendrik ini adalah salah satu pasukan yang bermain dalam kejuaraan Liga Eropah musim 2013/2014. Mungkin anda mahu tahu apa sebenarnya cerita disebalik pemergian Hendrik dari skuad Sabah selepas tamat musim 2012.
 

FFT: Anda meninggalkan kelab itu selepas bermain hanya untuk masa yang singkat. Apa yang berlaku?

Hendrik: Saya sebenarnya diminta untuk memperbaharui kontrak saya selepas hanya dua bulan bermain untuk Sabah FA kerana pegawai-pegawai sangat tertarik dengan prestasi saya. Mereka juga menjadikan saya kapten selepas hanya sebulan dan itu adalah satu penghargaan besar bagi saya. Saya benar-benar suka bermain untuk kelab itu, tetapi malangnya kami mengalami banyak kecederaan dan tidak dapat bermain dengan barisan terkuat kami. Ini menyebabkan kami mengalami beberapa siri kekalahan dalam perlawanan yang penting dan telah diturunkan pada akhir musim, yang merupakan sebab utama saya pergi. Terdapat juga beberapa perkara tidak profesional berlaku di dalam kelab yang saya tidak suka sama sekali, dan ia membuat keputusan saya untuk meninggalkan lebih mudah untuk diambil. Saya mempunyai beberapa tawaran dari kelab-kelab yang lebih besar di Malaysia selepas itu, tetapi saya mempunyai keinginan tinggi untuk berjaya di Eropah dan untuk menunjukkan kepada orang yang tidak percaya pada saya tentang kemampuan diri saya.

-Hendrik Helmke bercakap mengenai sebab beliau meninggalkan Sabah FA selepas musim 2012 dalam temubual bersama  FourFourTwo Malaysia.

Dialihbahasa dari Majalah FourFourTwo.

Dec 19, 2013

Marwan Sayedeh pemain import ke-4 Sabah musim 2014

Marwan Sayedeh
Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menandatangani penyerang dari Syria, Marwan Sayedeh sebagai pemain import ke-4 skuad Sabah untuk saingan Liga Perdana musim 2014 pada hari terakhir pendaftaran pemain import pada Selasa lalu.

Penyerang berusia 30 tahun itu tiba pada malam Isnin dan menjalani ujian kesihatan sebelum menandatangani kontrak bersama pasukan Sabah. Marwan adalah salah seorang daripada pemain import yang telah diuji oleh jurulatih, Seslija Milomir semasa lawatan pra musim di Indonesia yang mana Marwan telah berjaya menarik perhatian Milomir. Marwan menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika Sabah menewaskan Metro FC 3-0 dalam perlawanan pertama pra musim di Indonesia.

Sebagai rekod, musim lalu beliau bermain untuk pasukan Pelita Bandung Raya di liga ISL (Indonesia) dan menjaringkan 9 gol. Kedatangan Marwan pastinya akan memberikan Milomir lebih banyak pilihan di bahagia serangan selepas seorang lagi penyerang import, Altin Grbovic dilihat kurang menyerlah dalam beberapa aksi pra musim sebelum ini.

Pasukan Sabah yang baru kembali dari lawatan pra musim di Indonesia Isnin lalu telah melakar dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sepanjang 16 hari di sana.

Sumber:
Daily Express

Dec 13, 2013

Mimpi menjadi kenyataan buat Rexjeson dan Shahrul

Umpama 'mimpi'

'Bagaikan mimpi', itulah reaksi dari bekas penyerang skuad Piala Presiden musim lalu, Rexjeson Pitrus selepas impian beliau untuk menyertai skuad senior Sabah akhirnya termakbul. Rexjeson bersama seorang lagi muka baru, Mohd Shahrul Chankui menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) lewat petang Selasa lalu.
Rexjeson
Rexjeson, pemain kelahiran Keningau yang berusia 21 tahun menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan buat dirinya kerana dia bukan antara tujuh pemain yang disenaraipendek oleh jurulatih, Milomir selepas kejohanan antara Zon Piala Musa Aman baru-baru ini.

Rexjeson adalah sebahagian dari skuad daerah Keningau merangkul kejuaraan Piala Musa Aman baru-baru ini namun tidak mendapat perhatian dari Milomir. Namun, persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh Rexjeson termasuklah menjaringkan satu gol ketika mewakili pasukan Keningau dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Sabah baru-baru ini telah membuka mata jurulatih, Milomir untuk menyenaraikan Rexjeson dalam skuadnya.

Musim lalu, Rexjeson dua kali membuat kemunculan bersama skuad senior dengan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan Sabah menentang Felda United (Piala FA) dan menentang UiTM (Liga Perdana).

Anak jati Beluran, Mohd Shahrul Chankui yang berusia 23 tahun menyatakan bahawa bermain untuk Sabah adalah satu peluang sekali dalam seumur hidup dan dia akan berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Shahrul adalah salah seorang daripada tujuh pemain yang beraksi di kejohanan Piala Musa Aman yang dipanggil oleh Milomir untuk sesi latihan bersama skuad Sabah. Namun, hanya beliau seorang yang menarik perhatian Milomir untuk terus diserap ke skuad Sabah. Shahrul yang bermain di posisi bek kiri difahamkan memiliki tahap kecergasan dan kepantasan yang tinggi.

Pemilihan Rexjeson dan Shahrul sudah pastinya menggembirakan peminat bolasepak Sabah yang ingin melihat lebih ramai anak jati Sabah tersenarai dalam pasukan. Kedua-dua pemain ini kini bersama-sama dengan pasukan Sabah dalam persiapan pra musim di Malang, Indonesia selama dua minggu bermula 2 Disember lalu.

Dec 3, 2013

Senarai pemain Sabah FA untuk pra-musim di Malang, Indonesia

Senarai 23 pemain yang mengikuti perlawanan pra musim di Malang, Jawa Timur, Indonesia.

1. Zainizam Marjan
2. Rosdin Wasli
3. Julamri Muhammad
4. Irwan Jamil
5. Didie Arizal Ibrahim
6. Dendy Lowa
7. Sabri Sahar
8. Reithaudin Ag Emran
9. Maxsius Musa
10. Rexjeson Pitrus
11. Altin Grbovic
12. Srecko Mitrovic
13. Predrag Pocuca
14. Farid Ideris
15. Wan Mohd Hoesne
16. Mohd Ezaidy Khadar
17. Mohd Fazly Paat
18. A. Varathan
19. Mohd Redzuan Nawi
20. Pritam Singh
21. Isma Alif Mohd Salim
22. Mohd Zairi Hafizi Idris
23. Mohd Shahrul Chankui

Skuad Sabah akan mengadakan 4 perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan di sana.

1. 5 Dis - Sabah vs Metro FC
2. 8 Dis - Sabah vs Persebaya
3. 11 Dis - Sabah vs Arema Malang
4. 15 Dis - Sabah vs Perseda Siduarjo

Sumber:
New Sabah Times
Sabahawks Warrior Spirit

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...