8 Mac 2014

Kebangkitan Menakjubkan!!!

Keputusan penuh Sabah vs Kedah 7 Mac 2014

SABAH (3)
Marwan Sayedeh 45+3', pen. 81'
Srecko Mitrovic 71'

KEDAH (2)
Baddrol Bakhtiar 6'
Mohd. Syazwan Zainon 44'

Kebangkitan Menakjubkan!
Kota Kinabalu - Sabah mempamerkan aksi yang menakjubkan dihadapan kira-kira 10 ribu penyokong Sabah di Stadium Likas dengan bangkit dari ketinggalan dua gol sebelum menamatkan 90 minit permainan dengan kemenangan 3-2 menewaskan Kedah sebentar tadi.

Walaupun berehat panjang selama tiga minggu, skuad Sabah mengekal rentak permainan yang cemerlang untuk kemenangan ketiga musim ini yang juga kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Premier.

Marwan Sayedeh melakar dua jaringan penting bersama Srecko Mitrovic yang menjaringkan gol sulung beliau bersama Sabah. Gol pasukan Kedah diperolehi menerusi Baddrol Bakhtiar dan Mohd Syazwan Zainon.

Perlawanan bermula dengan Kedah lebih dahulu mendapat peluang diawal permainan menerusi Billy Mehmet namun berjaya dihalang pertahanan Sabah. Kedah membuka jaringan di minit ke 6 menerusi kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang melakukan volley cantik dari luar kotak penalti menewaskan Irwan Jamil.

Sabah selepas itu dilihat garang dengan serangan bertali arus menerusi gerakan dari bahagian sayap oleh Ezaidy Khadar dan Isma Alif. Sabah berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan dari Marwan, Sabri, Farid dan Ezaidy namun gagal menemui jaring. Kedah hampir hampir menggandakan jaringan pada minit ke 34 menerusi sepakan percuma Baddrol namun hanya singgah ke tiang gol.

Kedah menambah jaringan kedua menerusi Mohd Syazwan Zainon yang mudah menolak masuk bola selepas Irwan Jamil gagal menangkap bola lontaran masuk di minit ke 44. Bagaimanapun Sabah merapatkan jurang menerusi gol menarik dari Marwan diminit-minit akhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah terus menguasai permainan dengan Kedah sekali sekala melakukan serangan balas. Kemasukan Zainizam Marjan menggantikan Farid yang kurang berkesan pada minit ke 56 menjadi titik kepada kebangkitan Sabah. Zainzam terlepas peluang menyamakan kedudukan diminit ke 64 apabila percubaannya tidak tepat walaupun berjaya lolos di kotak penalti.

Gol yang dinantikan akhirnya tiba menerusi Mitrovic di minit ke 71 untuk mengikat kedudukan 2-2.Gol itu bermula dari gerakan satu-dua yang sempurna dari Mitrovic dan Zainizam sebelum diterjemah ke jaring oleh Mitrovic.

Sabah memperoleh gol kemenangan di minit 81 menerusi sepakan penalti selepas pemain import Kedah, Franco Gomez menampan bola percubaan dari Zainizam sebelum itu. Franco dilayangkan kad merah oleh pengadil atas kesalahan itu. Bermain sepuluh pemain, Kedah dilihat lebih banyak mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan. Mujur buat pasukan Sabah, gol Adam Griffiths di minit ke 88 tidak dikira kerana pemain tersebut terlebih dahulu dipersalahkan kerana menolak pemain Sabah.

Tamat perlawanan, Sabah mengutip mata penuh dengan kemenangan 3-2 ke atas Kedah.

Kemenangan ini membawa Sabah ke tempat ke 5 carta liga dengan mengumpul 9 mata dari 6 perlawanan setakat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...