Feb 15, 2016

Preview perlawanan Kuantan FA vs Sabah

Liga Perdana Malaysia 2016
kuantan fa

Preview perlawanan Kuantan FA vs Sabah 15 Feb 2016
Std. Darul Makmur, Kuantan
9.00 malam

Sabah berdepan Kuantan FA dalam perlawanan Liga Perdana Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini yang merupakan perlawanan kedua dalam tempoh empat hari selepas tewas 1-4 kepada pasukan UITM Jumaat lepas.

Sabah bakal berdepan tugas berat untuk kembali bangkit daripada kekalahan mengejut Jumaat lalu dengan sekali lagi berhadapan dengan pasukan yang sukar dijangka, Kuantan FA. Kuantan sebelum ini berjaya mengikat NS Matrix 1-1 di tempat lawan dalam perlawanan pembukaan liga.

Namun, Kuantan FA akan kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh mereka, Hazwan Fakrullah yang menjalani penggantungan selepas menerima kad merah pada perlawanan lalu. Juga dikhabarkan tidak pasti diturunkan ialah pemain tengah import, Srdjan Vidakovic yang mengalami kecederaan dalam perlawanan terdahulu.

Pemain tumpuan dalam pasukan ini pastinya terarah kepada pemain import berpengalaman yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam Liga M, Dao Bakary yang menyumbang gol tunggal pasukan minggu lalu. Pemain import tinggi lampai, Ljuba Baranin juga disebut memiliki kebolehan melakukan lontaran masuk jauh yang sering mengancam gawang lawan.

Sabah tidak ada pilihan selain cuba mendapatkan kemenangan bagi menebus kekalahan lalu dan terus berada di landasan betul untuk menamatkan saingan pusingan pertama di kedudukan enam teratas untuk kelayakan ke Piala Malaysia.

Jurulatih Sabah, Vjeran Simunic dijangka akan mengekalkan kesebelasan pemain yang bermula dalam perlawanan menentang UITM dan akan melakukan perubahan dalam formasi pasukan dengan menggunakan formasi 4-4-2 berbanding 4-2-3-1 sebelum ini.

Marco Tulio dijangka akan beralih ke posisi serangan berganding dengan Prince Nnake dengan Radzi Husin dan Dedi Kusnadar menggerakkan bahagian tengah. Gandingan Leopold dan Maxsius akan terus digunakan di bahagian sayap. Igor, Alto, Julamri dan Rawilson juga akan kekal di bahagian pertahanan dan mungkin Simunic terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol Mohd Fadzley di posisinya.

Preview pasukan Kuantan FA

Jurulatih: Zulhamizan Zakaria
Pemain import:
1. Dao Bakary (31 tahun) - Penyerang, Ivory Coast
2. Nakatake Shunsuke (26 tahun) - Tengah, Jepun
3. Srdjan Vidakovic (29 tahun) - Tengah, Serbia
4. Ljuba Baranin (29 tahn) - Pertahanan, Serbia

Rekod pertemuan Kuantan FA vs Sabah:
2015 LP: Kuantan FA 3-1 Sabah
2015 LP: Sabah 2-0 Kuantan FA
2014 FA: Kuantan FA 0-1 Sabah

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...