Mar 6, 2016

Sabah ke suku akhir Piala FA

Keputusan Perlawanan Pusingan Ketiga Piala FA Superbest
5 Mei 2016
Std. Likas, Kota Kinabalu
Keputusan Penuh
SABAH 2-1 ATM
Prince Nnake 12'
1-0


1-1
Faiz Ibrahim 22'
Maxsius Musa 46'
2-1


Selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2008, Sabah kembali di peringkat suku akhir Piala FA selepas melepasi pusingan ketiga semalam dengan menewaskan ATM 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Prince Nnake dan Maxsius Musa meledak gol pada setiap babak untuk memastikan kemaraan skuad Badak yang akan bertemu dengan pasukan Liga Super, Kedah di suku akhir.

Walaupun melalui permulaan musim yang buruk dalam saingan Liga Perdana, pemain-pemain Sabah dilihat garang dengan beberapa asakan ke arah gawang gol lawan di awal permainan. Prince Nnake memberi pendahuluan buat tuan rumah menerusi tandukan hasil daripada hantaran lintang Julamri Muhamad dari sebelah kiri.

Namun, kedudukan berubah selang sepuluh minit kemudian apabila ATM kembali mengikat kedudukan menerusi Faiz Ibrahim yang merembat masuk bola menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bermula, Sabah tidak menunggu lama untuk kembali di depan dengan Maxsius Musa melakar gol dengan satu tolakan mudah selepas menerima hantaran lintang dari Ummareng Bacok. Gol tersebut adalah gol ketiga peribadi pemain ini dalam semua pertandingan musim ini.

Kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat untuk kemenangan bermakna buat pasukan Sabah yang akan berdepan laluan sukar di suku akhir selepas diundi menentang pasukan Kedah. Perlawanan ini akan dijalankan secara timbal balik dengan tarikh perlawanan yang akan diputuskan kemudian.

Sabah dijadualkan akan menentang Melaka United dalam perlawanan kelima Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat 11 Mac depan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...