2 Ogo 2016

Sabah dan Negeri Sembilan berkongsi mata

Keputusan Liga Premier Malaysia
Perlawanan #16: Selasa, 2/8/2016
Std. Likas, Kota Kinabalu

Keputusan Penuh:

SABAH (0) - (0) NEGERI SEMBILAN

maxsius musa
Maxsius dalam aksi menentang Negeri Sembilan. - photo dari Sabah FA.
Sabah gagal dalam misi mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Premier apabila hanya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan di Std. Likas sebentar tadi.

Sabah yang turun dengan kesebelasan yang hampir sama ketika menang dalam perlawanan menentang Sime Darby minggu lalu dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan. Namun Negeri Sembilan terlebih dahulu menguji gawang Sabah menerusi tandukan pemainnya hasil dari sepakan percuma di minit ke-2. 

Maxsius Musa sepatutnya boleh meletakkan Sabah seawal minit ke-6 selepas mendapat hantaran menarik dari Muamer namun tolakannya terkena kaki penjaga gol dalam situasi satu lawan satu.

N. Sembilan hampir di depan pada minit ke 12 apabila Alexander Smith yang tidak dikawal didepan pintu gol melepaskan rembatan namun sedikit tinggi.

Sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Goran Jerkovic pula hanya sedikit sipi dipenjuru gol Sabah diminit ke 21.

Muamer Salibasic bertindak cemerlang mengelecek dua pemain N. Sembilan selang seminit kemudian namun sepakannya lemah terus ke dakapan Syed Adney.

Maxsius sekali lagi mensia-siakan peluang terbuka diminit ke 38 apabila menyepak tinggi bola melepasi palang walaupun tidak dikawal dalam kotak penalti.

Everton Souza melepaskan rembatan leret lemah terus ke penjaga gol diminit ke 41. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0.

Bersambung di babak kedua, N. Sembilan menunjukkan penguasaan bola di awal perlawanan sebelum Sabah kembali garang mengasak kubu lawan.

Maxsius untuk kali ketiga hampir meletakkan Sabah didepan diminit ke 56 namun tandukannya hasil hantaran Everton hanya sedikit sipi melepasi tiang dengan Syed Adney sudah tertewas. Selang dua minit kemudian, Muamer melakukan rembatan leret yang tersasar hasil dari gerakan sepakan sudut pantas.

Percubaan dari luar kotak penalti Khairul Anwar diminit ke 60 diselamatkan oleh Rozaimie. Dedi Kusnandar melakukan percubaan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke- 66 namun tepat ke penjaga gol. 

Peluang terbaik N. Sembilan untuk mendapatkan gol hadir diminit ke 72 menerusi percubaan kencang Afiq Azmi dalam kotak penalti yang menggegar tiang.

Tidak banyak gerakan-gerakan merbahaya selepas itu dengan N. Sembilan dilihat lebih garang melakukan serangan. Penghujung perlawanan di masa tambahan menyaksikan satu percubaan dari Leopold Alfonso namun mudah diselamatkan Syed Adney. Tamat perlawanan dengan Sabah terikat tanpa jaringan dengan N. Sembilan.

Satu mata yang dikutip Sabah membolehkan Sabah kekal di tangga ke 9 liga dengan mengutip 15 mata dan kini berada 6 mata dari zon penyingkiran.

Perlawanan Sabah seterusnya adalah pada Jumaat, 5 Ogos menentang ATM FA di Stadium Likas.

Lain-lain keputusan MPL hari ini:
Kuantan FA 2-3 PKNS 
Melaka United 3-1 Perlis
ATM FA 3-3 Kuala Lumpur
DRB Hicom 2-0 Sime Darby
UiTM FC 1-4 JDT II

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...