Feb 15, 2014

Kemenangan kedua musim ini

Keputusan Liga Premier: UiTM FC 0-1 Sabah 14 Feb 2014

UiTM FC (0)

VS

SABAH (1)
Marwan Mustafa Sayedeh 67'


Sabah mencatat kemenangan kedua musim ini dalam saingan Liga Premier apabila menundukkan pasukan tuan rumah, UiTM FC 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam petang kelmarin. Gol tunggal Sabah dijaringkan oleh pemain import, Marwan Sayedeh di separuh masa kedua untuk memberikan Sabah tiga mata penuh dan juga kemenangan kedua berturut turut selepas tewas tiga perlawanan pembukaan liga musim ini.

Dalam perlawanan itu, jurulatih Sabah, Seslija Milomir menurunkan barisan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Negeri Sembilan Isnin lalu. Separuh masa pertama dilihat seimbang dengan kedua dua pasukan saling mengatur serangan namun gagal menghasilkan jaringan. Kedudukan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Sabah dilihat lebih garang dengan lebih banyak menguasai bahagian tengah. Milomir membuat pertukaran pemain di awal separuh masa kedua dengan memasukkan A.Varathan menggantikan Rawilson Batuil dan Maxsius Musa menggantikan Ezaidy Khadar.

Gol yang dinanti nantikan pasukan Sabah akhirnya muncul di minit ke 67 menerusi Marwan Sayedeh yang menyepak masuk bola yang dihantar menerusi sepakan percuma oleh Julamri Muhamad. Sabah memiliki beberapa lagi peluang untuk menambah jaringan selepas itu tetapi gagal hingga ke wisel penamat. Tamat perlawanan, Sabah menang dengan jaringan tipis 1-0 untuk tiga mata penuh dalam perlawanan yang turut disaksikan kira-kira 300 penyokong Sabah yang hadir di stadium.

Kemenangan ini membolehkan Sabah naik ke tangga ke lapan liga dengan 6 mata dari 5 perlawanan selepas mencatatkan 2 kemenangan dan 3 kekalahan. Liga Premier akan berehat selama tiga minggu dan akan bersambung pada 7 Mac depan dimana Sabah akan melayan kunjungan pasukan Kedah di Likas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...