Mar 11, 2016

Mata pertama buat Sabah

Keputusan perlawanan Liga Premier 2016
Perlawanan 6: Jumaat, 11 Mac 2016
Stadium Likas, Kota Kinabalu
8.15 mlm

Keputusan Penuh
Sabah 2-2 Melaka United

0-1 See Kok Luen 41'
Igor Cerina 49' 1-1
Leopold A Otong 59' 2-1

2-2 Balsa Bozovic 71'

Sabah menamatkan badi kekalahan empat kali berturut-turut dalam saingan Liga Premier dengan keputusan kurang bergaya apabila hanya mampu seri 2-2 menentang Melaka United di laman sendiri sebentar tadi.

Nasib dilihat tidak menyebelahi pasukan Sang Badak untuk mencatat kemenangan pertama musim ini walaupun bermain baik dan lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol.

Separuh masa pertama menyaksikan permainan yang agak perlahan dari kedua-dua pasukan dengan tidak banyak gerakan menarik berlaku di gawang gol. Maxsius Musa hampir-hampir meletakkan Sabah didepan pada minit ke 38 namun percubaannya ditepis keluar penjaga gol Melaka.

Jaringan menerusi tampanan backheel cantik dari pemain tengah Melaka United, See Kok Luen pada minit ke 41 memisahkan kedua-dua pasukan menuju ke separuh masa kedua.

Bersambung di babak kedua perlawanan, Sabah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik dari pertahanan import, Igor Cerina di minit ke 49.

Leopold kemudian meletakkan Sabah didepan selang sepuluh minit kemudian dengan satu percubaan lencong menarik dari dalam kotak penalti.

Melaka kembali mengikat kedudukan kepada 2-2 diminit ke 71 menerusi sepakan percuma cantik dari luar kotak penalti oleh pemain import Melaka, Balsa Bozovic.

Sabah yang terdesak untuk mendapatkan kemenangan melakukan asakan demi asakan dengan penyerang utama, Prince Nnake terlepas sekurang-kurangnya dua peluang keemasan untuk melakukan jaringan.

Penghujung perlawanan dimasa tambahan menyaksikan layangan kad merah kepada Maxsius Musa selepas menerima kad kuning kedua dalam perlawanan itu. Nasib tidak menyebelahi pasukan Sabah apabila rembatan dari luar kotak penalti oleh kapten, Alto Linus yang juga sepakan terakhir dalam perlawanan hanya sekadar mengegar palang gol.

Tamat perlawanan, Sabah dan Melaka United seri 2-2.

Satu mata yang diperoleh pasukan Sabah tidak mengubah kedudukan dalam liga dengan kekal menduduki tangga kedua bawah liga dengan kini ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga ke-10, Sime Darby.

Liga Premier akan berehat selama tiga minggu dan akan bersambung pada 4 April dengan Sabah akan bertemu pasukan tercorot liga, ATM di tempat lawan.

Lain-lain keputusan Liga Premier 11/03/2016:
UiTM 1-1 Kuala Lumpur
PKNS 3-2 Perlis
NS Matrix 5-0 ATM
Kuantan 1-0 DRB Hicom
JDT II 2-1 Sime Darby


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...