12 Apr 2013

Sabah vs Perlis 3-2 12 April 2013

Keputusan penuh Liga Premier 12 April 2013: Sabah vs Perlis 3-2

Keputusan penuh:

SABAH (3)
Koh Traore 3', 27'
Farouk Hashim g.s 60'

VS

PERLIS (2)
Md Badrul Hisani 30'
Muhd. Nasri Ahmad Thauhid 43'

Tiga mata buat Sabah

Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan kemenangan ke empat dalam kempen Liga Perdana musim ini dengan menewaskan pasukan pelawat Perlis 3-2 di Stadium Likas petang tadi. Walaubagaimana pun Sabah memerlukan jaringan gol sendiri dari pemain Perlis di separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan tipis ini walaupun satu ketika mendahului pasukan lawan 2-0.

Koh Traore sekali lagi menunjukkan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini sebelum Badrul Hisani dan Muhd Nasri membalas buat pasukan Perlis untuk kedudukan separuh masa pertama terikat 2-2.

Perlawanan bermula dengan Perlis terlebih dahulu melakukan serangan di minit pertama perlawanan apabila penyerang mereka berjaya melepasi pertahanan Sabah tetapi sepakan leretnya tersasar walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol.

Sabah tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan apabila Traore bijak melepasi kawalan pertahanan untuk menanduk masuk bola hasil sepakan sudut oleh Shahrudin Yakup pada minit ke-3.

Perlis kemudian dilihat banyak menguasai bola selepas itu dan melakukan beberapa percubaan merbahaya di depan pintu gol Sabah termasuk satu percubaan jauh yang sedikit mengenai palang. 

Koh Traore terus cemerlang dengan gol kedua di minit ke 27 apabila mudah merembat masuk bola hantaran Zainizam yang mengambil peluang dari kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan percuma Shahrul Azhar Ture.

Perlis bagaimanapun merapatkan jaringan tiga minit kemudian menerusi Badrul Hisani yang tidak dikawal dalam kotak penalti merembat kencang bola hantaran lintang dari sebelah kanan selepas satu serangan balas.

Rosdin Wasli sepatutnya boleh menggandakan jaringan diminit ke 34 namun tandukannya hasil dari sepakan sudut tepat ke arah penjaga gol walaupun tidak dikawal.

Kelekaan pertahanan Sabah dihukum pemain Perlis menerusi Muhd Nasri di minit ke 43 apabila mudah menolak masuk bola ke gawang dari jarak dekat selepas mendapat umpanan dari luar kotak penalti. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 2-2.

Bersambung di babak kedua, Perlis dilihat lebih banyak mengawal bola sehinggalah kemasukan Rhys David Weston yang menggantikan Didie Arizal diminit ke 58. Dua minit kemudian, David melakukan hantaran cantik buat Julamri yang berjaya melepasi seorang pertahanan dari sebelah kiri sebelum melakukan hantaran silang yang tertampan oleh Farouk Hashim ke dalam gawang untuk gol ketiga Sabah.

Seminit kemudian, tandukan Alto Linus hasil hantaran lintang Traore sedikit tinggi di atas palang manakala percubaan leret jauh pemain Perlis tiga minit kemudian tersasar.

Peluang terbuka buat Traore untuk mencipta hatrik tiba diminit ke 72 tetapi beliau gagal melakukan kuisan 'backheel' yang sempurna hasil hantaran silang Shahrudin. 

Perlis pula mensia-siakan sepakan percuma diluar kotak penalti pada minit ke 80 sebelum rembatan padu dari jauh oleh Shahrul Azhar Ture seminit kemudian hanya sedikit terkeluar sebelah kanan tiang gol.

Kedudukan kekal sehingga bunyi wisel penamat dibunyikan untuk Sabah meraih tiga mata penuh dan meneruskan rentetan tanpa kalah kepada lima perlawanan. Sabah kini mengumpul 15 mata hasil dari empat kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan untuk berada di tangga ke tujuh liga.

Perlawanan seterusnya membabitkan pasukan Sabah adalah pada 19 April menentang KL SPA di Std. UiTM, Shah Alam.

-sabahawkians.blogspot.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...