'Bagaikan mimpi', itulah reaksi dari bekas penyerang skuad Piala Presiden musim lalu, Rexjeson Pitrus selepas impian beliau untuk menyertai skuad senior Sabah akhirnya termakbul. Rexjeson bersama seorang lagi muka baru, Mohd Shahrul Chankui menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) lewat petang Selasa lalu.
Rexjeson |
Rexjeson adalah sebahagian dari skuad daerah Keningau merangkul kejuaraan Piala Musa Aman baru-baru ini namun tidak mendapat perhatian dari Milomir. Namun, persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh Rexjeson termasuklah menjaringkan satu gol ketika mewakili pasukan Keningau dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Sabah baru-baru ini telah membuka mata jurulatih, Milomir untuk menyenaraikan Rexjeson dalam skuadnya.
Musim lalu, Rexjeson dua kali membuat kemunculan bersama skuad senior dengan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan Sabah menentang Felda United (Piala FA) dan menentang UiTM (Liga Perdana).
Anak jati Beluran, Mohd Shahrul Chankui yang berusia 23 tahun menyatakan bahawa bermain untuk Sabah adalah satu peluang sekali dalam seumur hidup dan dia akan berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Shahrul adalah salah seorang daripada tujuh pemain yang beraksi di kejohanan Piala Musa Aman yang dipanggil oleh Milomir untuk sesi latihan bersama skuad Sabah. Namun, hanya beliau seorang yang menarik perhatian Milomir untuk terus diserap ke skuad Sabah. Shahrul yang bermain di posisi bek kiri difahamkan memiliki tahap kecergasan dan kepantasan yang tinggi.
Pemilihan Rexjeson dan Shahrul sudah pastinya menggembirakan peminat bolasepak Sabah yang ingin melihat lebih ramai anak jati Sabah tersenarai dalam pasukan. Kedua-dua pemain ini kini bersama-sama dengan pasukan Sabah dalam persiapan pra musim di Malang, Indonesia selama dua minggu bermula 2 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan