21 Feb 2016

Akhirnya, Badak meradu!!!

Piala FA superbest 2016

Keputusan penuh Piala FA Superbest pusingan kedua
Sabtu, 20 Feb 2016
Stadium Likas

SABAH (3)
Prince Nnake Tochukwu 5', 46'
Maxsius Musa 61"

KL MOF FC (0)

Statistik perlawanan: (Sabah - MOF FC)
% Penguasaan bola: 52 - 48
Percubaan (tepat/sasar): 7(4/3) - 4(2/2)
Offside: 3 - 2
Sepakan sudut: 6 - 0
Kad Kuning: 0 - 2
Kad Merah: 0 - 0

Rentetan perlawanan tanpa kemenangan 11 perlawanan yang berlanjutan dari penghujung musim lalu akhirnya berakhir dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan KL MOF FC dalam saingan Piala FA pusingan kedua di Stadium Likas sebentar tadi.

Sumbangan dua gol dari penyerang import Prince Nnake dan satu dari pemain sayap, Maxsius Musa cukup untuk menghantar pasukan Sabah ke pusingan ke-3 Piala FA Superbest sekaligus memperbaiki pencapaian dalam saingan yang sama pada musim lalu yang menyaksikan Sabah terkandas awal.

Jurulatih, Vjeran Simunic melakukan sedikit rombakan pada kesebelasan dengan Rozaimie Rohim mengambil tempat Mohd Fadzley di posisi penjaga gol dan dengan ketiadaan Marco Tulio yang cedera,Leopold Alfonso beralih ke posisi tengah menyerang dan tempatnya diambil oleh Ummareng Bacok.

Sabah memperoleh gol sulung seawal minit ke-5 menerusi kesilapan penjaga gol lawan, Razi Affendi yang gagal meyepak kemas bola hantaran ke belakang dari rakannya dengan Prince Nnake bijak menggunakan badannya untuk menghadang bola yang melantun masuk ke gawang MOF FC.

MOF FC memperoleh peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan diminit ke-20 menerusi satu lorongan cantik dari kawasan tengah padang kepada Rudie Ramli yang hanya berhadapan dengan penjaga gol Sabah namun percubaannya ditepis keluar.

Leopold Alfonso hampir-hampir menggandakan pendahuluan Sabah di minit ke-42 selepas mendapat hantaran lintang cantik dari Nnake namun sepakannya dari jarak dekat tinggi melepasi palang gol walaupun dalam keadaan pintu gol yang terbuka.

Tidak banyak gerakan yang menarik ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan diseparuh masa pertama namun MOF FC dilihat lebih banyak menguasai bola berbanding pasukan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Sabah memerlukan kurang seminit selepas sepak mula untuk menghasilkan gol kedua juga menerusi Prince Nnake yang mudah menanduk masuk bola ke gawang yang ternganga susulan dari percubaan cantik Leopold yang mengenai palang gol.

Leopold sekali lagi tidak bernasib baik apabila sepakan lencong dari luar kotak penalti sekadar mengegar palang di minit ke-51. Sabah terus kukuh dengan gol ketiga menerusi Maxsius Musa di minit ke-61. Gol berpunca dari umpanan Leopold kepada Maxsius yang bijak melarikan bola melepasi kawalan seorang pertahanan dan penjaga gol sebelum menyepak ke gawang yang kosong.

Selesa mendahului tiga gol, Sabah memperlahankan tempo permainan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang. Tidak banyak peluang yang dicipta oleh kedua-dua pasukan selepas itu sehinggalah wisel penamat untuk Sabah menang 3-0 mengatasi MOF FC.

Kemenangan ini melayakkan Sabah ke pusingan ke-3 Piala FA dan akan bertemu dengan satu lagi pasukan dari Liga Premier, Angkatan Tentera Malaysi yang mana Sabah akan sekali lagi mendapat kelebihan selepas diundi sebagai tuan rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...