20 Feb 2016

Preview perlawanan: Sabah vs MOF FC Piala FA

Preview perlawanan: Sabah vs MOF FC Piala FA pusingan kedua
logo mof fc
MOF FC

Harus menang!!!

Misi berat menanti skuad Sabah dalam pertemuan menentang pasukan dari Liga FAM, MOF FC dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA malam ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu. 

Selepas mengharungi dua perlawanan Liga Premier yang amat mengecewakan, penyokong-penyokong Sabah pastinya menagih persembahan yang terbaik bukan sahaja untuk memenangi perlawanan tetapi juga untuk mengembalikan maruah pasukan yang tercalar dan keyakinan penyokong yang kini semakin pudar.

Reaksi 'panas' penyokong amat jelas dilihat di media sosial dengan rata-rata menuding jari kepada pihak pengurusan atas permulaan buruk skuad Sabah. Tidak menghairankan jikalau kedatangan penonton malam ini kurang meriah jika diukur kepada prestasi pasukan ketika ini.

MOF FC adalah antara kelab yang masih muda di kancah Liga M dengan penampilan pertama di Liga FAM pada musim 2014. Tiada yang boleh dibanggakan dengan pencapaian kelab ini dalam dua musim penyertaan mereka dalam Liga M, namun dikhabarkan pasukan ini telah mendapatkan khidmat beberapa pemain yang 'dikenali' bagi memantapkan pasukan ini.|

Penyerang Rudie Ramli, Mohd. Nizad Ayub dan pemain tengah K. Soley adalah antara nama yang tidak asing bagi kita. Turut membarisi pasukan ini adalah dua pemain yang pernah bermain untuk Sabah, Faizol Nazlin Sayuti (2015) dan Wan Alif Jasmi (2013).

Berbanding pasukan Sabah, perlawanan malam ini adalah yang pertama dalam pertandingan Liga M buat pasukan MOF FC kerana sepak mula Liga FAM hanya akan bermula akhir bulan ini. Namun, harus diingat bahawa pasukan ini pernah mencatat keputusan yang baik dalam perlawanan pra musim mereka dengan mengikat Felda United 1-1 selain menewaskan skuad Piala Presiden T-Team 5-1.

Dilihat atas kertas, Sabah adalah pasukan pilihan untuk menang dengan kelebihan bermain ditempat sendiri selain faktor kelebihan pemain import yang tidak ada pada pasukan MOF FC.

Dikhabarkan bahawa jurulatih Sabah, Vjeran Simunic akan mungkin membuat sedikit rombakan pada pasukan sekiranya dua pemain penting, Marco Tulio dan Leopold Alfonso tidak cergas menjelang perlawanan malam ini.

Pastinya, perlawanan malam ini adalah perlawanan 'penting' buat pasukan Sabah dan kemenangan mutlak seharusnya menjadi hadiah dan penawar kekecewaan buat para penyokong. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...