Jan 16, 2013

Menjelang perlawanan: Kuala Lumpur vs Sabah 18 Jan 2013

Menjelang perlawanan: Kuala Lumpur vs Sabah 18 Jan 2013 | Liga Perdana Malaysia 2013

Skuad Sabah sekali lagi ke Lembah Klang dalam tempoh seminggu dan kali ini bertandang ke Std. Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menentang skuad "Ibu Kota", Kuala Lumpur Jumaat ini. Ini adalah merupakan perlawanan ke-empat buat kedua-dua pasukan dalam tempoh 11 hari musim Liga Premier.

Kekalahan 1-5 ke atas pasukan Johor Isnin lalu adalah yang ketiga berturut-turut menimpa pasukan Kuala Lumpur dalam tiga aksi awal Liga Perdana musim ini. Dua perlawanan sebelum itu menyaksikan pasukan ini tewas kepada Pos Malaysia (2-3) dan PDRM (0-4). Turut menyertai pasukan ini dengan rekod kekalahan 100% di Liga Perdana selepas tiga perlawanan adalah NS Betaria, Perlis dan UiTM FC.

Bagaikan terkena badi, skuad ibukota ini terus melebarkan rekod 'tanpa menang' mereka kepada 29 perlawanan dalam Liga Malaysia selepas menamatkan saingan Liga Super musim lalu tanpa kemenangan dalam 26 perlawanan. Mungkin ini satu rekod baru dalam sejarah Liga M. Tewas besar dalam dua perlawanan terakhir selepas menamatkan perlawanan dengan hanya sepuluh pemain jelas menceritakan betapa badi musim 2012 terus menghantui pasukan ini.

Jika Kuala Lumpur ada badinya, Sabah juga dalam sedar tidak sedar juga ada badinya sendiri. Tahukah anda semua kali terakhir Sabah menang perlawanan diluar dari  Std. Likas adalah pada 27/09/2011 ketika menewaskan Johor 4-1 ditempat lawan dalam kempen Piala Malaysia. Mengikut perkiraan penulis, Sabah tidak menang di gelanggang lawan dalam 15 perlawanan terakhir mereka.

Perlawanan Kuala Lumpur - Sabah ini pastinya menarik untuk kita perkatakan. Jika Kuala Lumpur menang, maka tamatlah sudah badi rekod tanpa menang 29 perlawanan mereka. Sebaliknya, jika Sabah pula yang menang, maka tamatlah badi tanpa menang ditempat lawan selepas lebih setahun. Tapi, jika kedua-dua pasukan ini seri, maka mereka akan terus 'memikul' badi mereka untuk sekurang-kurangnya ke satu perlawanan lagi.

Kelebihan nyata memihak buat pasukan Sabah jika dilihat pada 'faktor pemain' memandangkan Kuala Lumpur tidak berpeluang menggunakan khidmat pemain import dalam kesebelasan mereka selepas FAM menolak pendaftaran pemain import mereka atas alasan lewat. Sabah pula hampir pasti akan dapat menurunkan pemain pertahanan import, Rhys David Weston yang dikhabarkan semakin pulih dari kecederaan hamstring. Begitu juga dengan aksi penyerang import, Koh Traore yang semakin meningkat jika dilihat pada dua perlawanan terakhir beliau. Penyerang veteran, Zainizam Marjan memperlihatkan kita betapa pengalamannya amat diperlukan dalam pasukan. Pemain tengah, Ibnu Kassim adalah satu-satunya pemain yang telah beraksi dalam kesemua perlawanan Sabah dan telah bergandingan dengan tiga pemain berbeza di tengah iaitu Sabri Sahar, Didie Arizal dan Radzi Husin. Bahagian sayap pasukan Sabah dilihat sebagai bahagian yang kurang efektif dengan beberapa pemain telah diuji di posisi ini antaranya Farid Saibun, Shahrudin, Alto, Leopold, Juffrey dan Didie Arizal. Pendek kata, kesebelasan Sabah seolah-olah masih dalam eksperimen dengan perubahan pemain dan posisi sering berlaku dalam setiap perlawanan. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Kuala Lumpur pula akan kehilangan satu pemain utamanya,Taufiq Shukor akibat penggantungan selepas mendapat kad merah dalam perlawanan sebelum ini.

Seperti pasukan Sabah, Kuala Lumpur juga melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad musim lalu dengan hanya lapan pemain yang dikekalkan. Pasukan ini membariskan 13 pemain berumur bawah 23 tahun musim ini dan satu daripadanya ialah Rafef Raya, pemain yang pernah dipilih oleh Ong Kim Swee untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan Nike The Chance di Jakarta tahun lalu. Kuala Lumpur juga diperkuatkan dengan kemasukan empat pemain baru berpengalaman iaitu Munir Amran, Azizon Abd Kadir, Benedict Martin dan Jeremy Danker. Menariknya tiga pemain, Azizon, Munir dan Jeremy pernah bermain untuk pasukan Sabah sebelum ini. Seorang lagi pemain, Hishamuddin Othman yang meninggalkan pasukan Sabah selepas musim 2007 adalah antara pemain veteran dalam pasukan ini.


Head-to-head Sabah vs Kuala Lumpur (2009-2012):
30/06/12 Liga Super: Kuala Lumpur 2-4 Sabah (Std. Likas)
14/02/12 Liga Super: Sabah 2-0 Kuala Lumpur (Std. Likas)
08/06/11 Liga Super: Sabah 3-0 Kuala Lumpur (Std. Likas)
01/02/11 Liga Super: Kuala Lumpur 1-0 Sabah (Std. KLFA)
03/10/10 Piala Malaysia: Sabah 3-2 Kuala Lumpur (Std. Likas)
14/09/10 Piala Malaysia: Kuala Lumpur 0-0 Sabah (Std. KLFA)
20/07/09 Liga Perdana: Kuala Lumpur 2-0 Sabah
08/05/09 Liga Perdana: Sabah 0-3 Kuala Lumpur (Std. Likas)
03/02/09 Piala FA: Sabah 0-1 Kuala Lumpur (Std. Likas)
31/01/09 Piala FA: Kuala Lumpur 1-1 Sabah

Rekod perlawanan pra-musim Kuala Lumpur:
27/12/12: Sime Darby FC 3-2 Kuala Lumpur (Std UPM, Serdang)
20/12/12 Piala KL: Final PDRM 1-4 Kuala Lumpur (Std Bolasepak KL, Cheras)
18/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 2-1 NS Betaria (Std MPSJ, Subang Jaya)
Dis 16/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 1-2 PDRM (Std MPSJ, Subang Jaya)
14/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 2-1 Perlis (Std MPSJ, Subang Jaya)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...