Menjelang perlawanan: Kuala Lumpur vs Sabah 18 Jan 2013 | Liga Perdana Malaysia 2013
Skuad Sabah sekali lagi ke Lembah Klang dalam tempoh seminggu dan kali
ini bertandang ke Std. Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menentang skuad
"Ibu Kota", Kuala Lumpur Jumaat ini. Ini adalah merupakan perlawanan
ke-empat buat kedua-dua pasukan dalam tempoh 11 hari musim Liga Premier.
Kekalahan 1-5 ke atas pasukan Johor Isnin lalu adalah yang ketiga
berturut-turut menimpa pasukan Kuala Lumpur dalam tiga aksi awal Liga
Perdana musim ini. Dua perlawanan sebelum itu menyaksikan pasukan ini
tewas kepada Pos Malaysia (2-3) dan PDRM (0-4). Turut menyertai pasukan
ini dengan rekod kekalahan 100% di Liga Perdana selepas tiga perlawanan
adalah NS Betaria, Perlis dan UiTM FC.
Bagaikan terkena badi, skuad ibukota ini terus melebarkan rekod 'tanpa
menang' mereka kepada 29 perlawanan dalam Liga Malaysia selepas
menamatkan saingan Liga Super musim lalu tanpa kemenangan dalam 26
perlawanan. Mungkin ini satu rekod baru dalam sejarah Liga M. Tewas
besar dalam dua perlawanan terakhir selepas menamatkan perlawanan dengan
hanya sepuluh pemain jelas menceritakan betapa badi musim 2012 terus
menghantui pasukan ini.
Jika Kuala Lumpur ada badinya, Sabah juga dalam sedar tidak sedar juga
ada badinya sendiri. Tahukah anda semua kali terakhir Sabah menang
perlawanan diluar dari Std. Likas adalah pada 27/09/2011 ketika
menewaskan Johor 4-1 ditempat lawan dalam kempen Piala Malaysia.
Mengikut perkiraan penulis, Sabah tidak menang di gelanggang lawan dalam
15 perlawanan terakhir mereka.
Perlawanan Kuala Lumpur - Sabah ini pastinya menarik untuk kita
perkatakan. Jika Kuala Lumpur menang, maka tamatlah sudah badi rekod
tanpa menang 29 perlawanan mereka. Sebaliknya, jika Sabah pula yang
menang, maka tamatlah badi tanpa menang ditempat lawan selepas lebih
setahun. Tapi, jika kedua-dua pasukan ini seri, maka mereka akan terus
'memikul' badi mereka untuk sekurang-kurangnya ke satu perlawanan lagi.
Kelebihan nyata memihak buat pasukan Sabah jika dilihat pada 'faktor
pemain' memandangkan Kuala Lumpur tidak berpeluang menggunakan khidmat
pemain import dalam kesebelasan mereka selepas FAM menolak pendaftaran
pemain import mereka atas alasan lewat. Sabah pula hampir pasti akan
dapat menurunkan pemain pertahanan import, Rhys David Weston yang
dikhabarkan semakin pulih dari kecederaan hamstring. Begitu juga dengan
aksi penyerang import, Koh Traore yang semakin meningkat jika dilihat
pada dua perlawanan terakhir beliau. Penyerang veteran, Zainizam Marjan
memperlihatkan kita betapa pengalamannya amat diperlukan dalam pasukan.
Pemain tengah, Ibnu Kassim adalah satu-satunya pemain yang telah beraksi
dalam kesemua perlawanan Sabah dan telah bergandingan dengan tiga
pemain berbeza di tengah iaitu Sabri Sahar, Didie Arizal dan Radzi
Husin. Bahagian sayap pasukan Sabah dilihat sebagai bahagian yang kurang
efektif dengan beberapa pemain telah diuji di posisi ini antaranya
Farid Saibun, Shahrudin, Alto, Leopold, Juffrey dan Didie Arizal. Pendek
kata, kesebelasan Sabah seolah-olah masih dalam eksperimen dengan
perubahan pemain dan posisi sering berlaku dalam setiap perlawanan.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Kuala Lumpur pula akan kehilangan satu pemain utamanya,Taufiq Shukor akibat
penggantungan selepas mendapat kad merah dalam perlawanan sebelum ini.
Seperti pasukan Sabah, Kuala Lumpur juga melakukan rombakan
besar-besaran terhadap skuad musim lalu dengan hanya lapan pemain yang
dikekalkan. Pasukan ini membariskan 13 pemain berumur bawah 23 tahun
musim ini dan satu daripadanya ialah Rafef Raya, pemain yang pernah
dipilih oleh Ong Kim Swee untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan Nike
The Chance di Jakarta tahun lalu. Kuala Lumpur juga diperkuatkan dengan
kemasukan empat pemain baru berpengalaman iaitu Munir Amran, Azizon Abd
Kadir, Benedict Martin dan Jeremy Danker. Menariknya tiga pemain,
Azizon, Munir dan Jeremy pernah bermain untuk pasukan Sabah sebelum ini.
Seorang lagi pemain, Hishamuddin Othman yang meninggalkan pasukan Sabah selepas musim 2007 adalah antara pemain veteran dalam pasukan ini.
Head-to-head Sabah vs Kuala Lumpur (2009-2012):
30/06/12 Liga Super: Kuala Lumpur 2-4 Sabah (Std. Likas)
14/02/12 Liga Super: Sabah 2-0 Kuala Lumpur (Std. Likas)
08/06/11 Liga Super: Sabah 3-0 Kuala Lumpur (Std. Likas)
01/02/11 Liga Super: Kuala Lumpur 1-0 Sabah (Std. KLFA)
03/10/10 Piala Malaysia: Sabah 3-2 Kuala Lumpur (Std. Likas)
14/09/10 Piala Malaysia: Kuala Lumpur 0-0 Sabah (Std. KLFA)
20/07/09 Liga Perdana: Kuala Lumpur 2-0 Sabah
08/05/09 Liga Perdana: Sabah 0-3 Kuala Lumpur (Std. Likas)
03/02/09 Piala FA: Sabah 0-1 Kuala Lumpur (Std. Likas)
31/01/09 Piala FA: Kuala Lumpur 1-1 Sabah
Rekod perlawanan pra-musim Kuala Lumpur:
27/12/12: Sime Darby FC 3-2 Kuala Lumpur (Std UPM, Serdang)
20/12/12 Piala KL: Final PDRM 1-4 Kuala Lumpur (Std Bolasepak KL, Cheras)
18/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 2-1 NS Betaria (Std MPSJ, Subang Jaya)
Dis 16/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 1-2 PDRM (Std MPSJ, Subang Jaya)
14/12/12 Piala KL: Kuala Lumpur 2-1 Perlis (Std MPSJ, Subang Jaya)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan