Jurulatih baru Sabah, David McCreery
TEKA-TEKI mengenai ketua jurulatih Sabah yang baharu akhirnya terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) bersetuju mengikat kontrak bersama bekas pemain kebangsaan Ireland Utara, David McCreery.
Pengendali berusia 54 tahun itu yang pernah menyarung jersi kelab Manchester United dan Newcastle United akan membimbing skuad Sabahawks menerusi kontrak selama setahun.
Paling menarik, pemilihan McCreery itu meletakkannya sebagai jurulatih import ke-14 yang diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu.
Sebelum ini, antara jurulatih asing yang pernah membimbing Sabah termasuklah Gary Phillips (Australia), Wathiq Naji Jasim (Iraq), Drago Mamic (Croatia), Jose Garrido (Portugal), Peter Butler (England), Ken Worden (Australia) dan Ken Shellito dari England.
Setiausaha Agung Safa, Alijus Sipil berkata, pemilihan McCreery yang sebelum ini membimbing kelab Myanmar, Magway dibuat berdasarkan kredibiliti serta pengalaman jurulatih itu melahirkan ramai pemain berbakat.
"Kita jangkakan dia akan tiba di sini (Kota Kinabalu) dari Myanmar pada Jumaat ini dan mungkin akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih Sabah pada perlawanan menentang Terengganu di Likas, Sabtu ini," katanya kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, kemampuan McCreery sebagai jurulatih telah terbukti apabila lima pemain di bawah kendaliannya dalam pasukan Magway kini merupakan tonggak bagi skuad kebangsaan Bawah 22 negara itu.
"Kita telah menyenaraikan lebih daripada lima jurulatih untuk dipilih membimbing pasukan Sabah, tetapi pemilihan McCreery merupakan keputusan paling tepat," jelasnya.
Terdahulu, Sabah terpaksa dibimbing penolong jurulatih, Andrew Majanggim dalam tiga perlawanan sebelum ini ekoran pemecatan ketua jurulatihnya, Justin Ganai.
Keputusan Safa menggugurkan Justin dibuat ekoran prestasi merundum skuad dari Borneo itu termasuk tewas yang memalukan 0-9 kepada Lions XII.
"Apa yang kita harapkan adalah McCreery mampu membawa perubahan kepada pasukan Sabah dengan sasaran awal adalah untuk kekal dalam persaingan Liga Super.
"Kita juga mengharapkan agar jurulatih baru itu mampu memberi impak dalam pasukan dalam saingan Piala Malaysia yang akan datang," ujarnya.
Sumber berita:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan