17 Jul 2012

Menjelang perlawanan: Playoff Sabah vs Kedah 17 Julai 2012

Playoff liga super 2013: Sabah vs Kedah 17 Julai 2012

Perlawanan pusingan pertama playoff Liga Super Sabah vs Kedah di Std. Hang Jebat pada 8.45 malam ini.

Saingan penentuan satu baki slot ke Liga Super musim depan bermula hari ini dengan skuad Sabah akan memulakan cabaran menentang Kedah dalam perlawanan dengan sistem kalah mati di Std. Hang Jebat jam 8.45 malam. Sebelum perlawanan ini, satu lagi perlawanan playoff antara Sarawak dan Pahang berlangsung awal bermula jam 4.45 petang di Stadium yang sama. Pemenang kedua-dua perlawanan ini akan bertemu dalam perlawanan 'akhir' playoff di stadium yang sama pada 19 Julai nanti untuk melengkap kuota 12 pasukan dalam saingan liga super musim depan.

Menariknya malam ini, di Std. Likas pula, akan berlangsung perlawanan persahabatan yang menemukan kelab dari Liga Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) menentang pasukan Pilihan Sabah 8.15 malam ini. Walaupun kemungkinan besar ramai warga kita akan menuju ke Std. Likas malam ini namun perlawanan yang lebih 'penting' dan 'besar' tetap kepada perlawanan playoff malam ini. 

Cabaran Sabah dalam pertarungan playoff ini bukan mudah dengan halangan pertama adalah pasukan yang sukar diramal, Kedah. Dua perlawanan liga super musim ini lebih memihak kepada pasukan kita, dengan mengikat lawan di Alor Star 2-2 sebelum menang di Likas 1-0. Namun, rekod pertemuan lalu bukanlah menjadi penentu kepada pasukan yang berkelebihan malam ini kerana Sabah mahupun Kedah memiliki keupayaan masing-masing yang sukar diramal. Prestasi kedua-dua pasukan di Liga Super tidak jauh berbeza dengan kedua-dua pasukan menamatkan saingan liga berkongsi 28 mata masing-masing melakar 7 kemenangan, 7 seri dan 12 kekalahan.

Sabah memiliki kelebihan dari segi moral dengan memenangi perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan 3-1 di Likas manakala Kedah tewas kepada Felda United 1-2 di gelanggang sendiri. Selain itu, Sabah akan diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain liga Presiden yang membantu skuad SUKMA Sabah memenangi pingat emas iaitu Rozaimi Abd. Rahman (gambar), Leopold Alfonso, Razid Gapar dan Zulmanshah Aling. Sabah pastinya menaruh harapan tinggi kepada pemain sensasi, Rozaimi  yang berada di puncak prestasi ketika ini untuk memperlihatkan lagi sentuhan 'magis'nya malam ini. Kelibat Rozaimi pastinya memberi suntukan moral yang tinggi kepada rakan-rakan sepasukan menghadapi Kedah malam ini. Malang buat Kedah apabila penyerang import mereka, Verdran Gerc dikhabarkan cedera dan kemungkinan besar akan tersisih dalam perlawanan ini.

Jurulatih, David McCreery punya banyak pilihan dalam kesebelasan malam ini dengan kembalinya beberapa pemain utama yang cedera sebelum ini Sumardi, Alto dan Fariss. Kesebelasan pemain lawan malam ini mungkin tidak jauh berbeza dengan kesebelasan menentang Negeri Sembilan tempoh hari dengan rombakan hanya di bahagian serangan yang mana, Rozaimi pasti akan menjadi sandaran utama merobek gawang Kedah. Pemain yang pasti tidak berada bersama skuad Sabah di Melaka ialah Zainizam, Razlan dan Bobby yang tersenarai dalam skuad Pilihan Sabah menentang QPR malam ini.

Harapan besar peminat dan penyokong untuk melihat Sabah kekal dalam liga super musim depan akan ditentukan malam ini. Jika tewas, maka Liga Perdana adalah jawapannya dan sekiranya menang, halangan kedua akan menanti antara pemenang playoff antara Sarawak dan Pahang.

All the best SABAH!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...