Menjelang perlawanan: Sabah vs Negeri Sembilan 14 Julai 2012
Misi mengembalikan maruah bolasepak Sabah!!!
Mungkin inilah misi para pemain malam ini dalam perlawanan penutup tirai Liga Super musim 2012 menentang pasukan Negeri Sembilan di Likas. Tidak ada apa-apa lagi yang istimewa dalam perlawanan malam ini dengan perjuangan untuk kekal dalam Liga Super secara automatik telah lama berkubur dan peluang untuk layak ke saingan Piala Malaysia juga terlalu tipis. Perlawanan malam ini lebih dilihat kepada perjuangan memulihkan maruah pasukan kita yang tercalar gara-gara kemerosotan prestasi yang menyaksikan pasukan ini terperosok di kelompok bawah liga.
Menuju perlawanan malam ini, Sabah mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam tiga perlawanan terakhir dengan perlawanan terakhir menyaksikan Sabah kecundang di tangan Selangor 2-3 Selasa lalu. Negeri Sembilan juga dilihat kurang konsisten dalam lima perlawanan terakhir dengan hanya menang satu daripada perlawanan tersebut. Terbaru, pasukan ini (N.S) gagal menewaskan pasukan yang telah tersingkir awal dari liga, Kuala Lumpur apabila hanya seri 1-1 di tempat sendiri.
Rekod pertemuan dua pasukan ini dalam lima perlawanan terakhir juga dilihat seimbang dengan masing-masing mencatatkan dua kemenangan dan satu lagi berakhir dengan seri. Lebih menarik, Sabah menang dalam dua pertemuan terakhir di Std. Likas ke atas Negeri Sembilan. Perlawanan terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 di Std. Tunku Abd. Rahman, Paroi dalam saingan liga pusingan pertama.
Head-to-Head Sabah vs N. Sembilan (5 perlawanan terakhir):
07/04/12 - LS: Negeri Sembilan 2 - 2 Sabah
06/05/11 - LS: Sabah 2 - 0 Negeri Sembilan
26/02/11 - LS: Negeri Sembilan 1 - 0 Sabah
15/08/07 - PM: Sabah 3 - 1 Negeri Sembilan
08/08/07 - PM: Negeri Sembilan 1 - 0 Sabah
06/05/11 - LS: Sabah 2 - 0 Negeri Sembilan
26/02/11 - LS: Negeri Sembilan 1 - 0 Sabah
15/08/07 - PM: Sabah 3 - 1 Negeri Sembilan
08/08/07 - PM: Negeri Sembilan 1 - 0 Sabah
*LS: Liga Super | PM: Piala Malaysia
Sabah akan mendapat semula khidmat beberapa pemain utama yang cedera seperti Mafry Balang, Sumardi Hajalan dan Fariss Azlan yang dilaporkan telah sembuh dari kecederaan. Selain itu, Rosdin Wasli yang terlepas dua perlawanan terakhir juga akan kembali selepas tamat menjalani penggantungan. Walaubagaimanapun, khidmat penyerang Rozaimi Abd. Rahman serta dua pemain junior yang beraksi dalam beberapa perlawanan Sabah yang terakhir iaitu Razid Gapar dan Zulmanshah Aling tidak akan dapat digunakan memandangkan pemain-pemain ini bersama dengan skuad SUKMA di Pahang yang juga akan beraksi malam ini dalam penentuan pingat emas.
Malam ini juga menyaksikan, David McCreery akan berada di tepi padang dalam perlawanan pertama beliau sebagai jurulatih Sabah. Walaupun baru mengambilalih pasukan ini dari kendalian penolong jurulatih, Andrew Majanggim khamis lalu, namun, kita yakin David mampu memberi impak kepada permainan Sabah malam ini.
Walaupun perlawanan malam ini boleh diibaratkan sebagai pelengkap jadual, kita yakin para pemain Sabah akan berjuang dengan penuh semangat untuk menewaskan Negeri Sembilan bagi mengembalikan semula keyakinan peminat tempatan. Dengan peluang untuk memintas Kedah di tangga ke-12 dan slot terakhir Piala Malaysia dilihat misi mustahil, namun kemenangan sekurang-kurangnya akan meningkatkan motivasi dan moral pemain menjelang perlawanan playoff 17 Julai ini.
All the best Sabahawks!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan