24 Dis 2012

Cerita Admin: Mana suara kami???

“The fans now are different compared to the previous era and we need to adapt to changes. What might seem to work before may not be applicable now and this is why we are gathering representatives from various fan clubs to express their voice and suggestions to FAS”
- Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman (theborneopost)

Terjemahan:
"Peminat sekarang adalah berbeza berbanding era sebelumnya dan kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan. Apa yang mungkin kelihatan berhasil sebelum ini mungkin tidak boleh diguna pakai sekarang dan ini adalah sebab kita mengumpul wakil dari kelab peminat untuk meluahkan suara dan cadangan mereka kepada FAS."

Sangat menarik untuk kita bincangkan mengenai apa yang dikatakan oleh Presiden Sarawak FA, Datu Sudarsono Osman ketika sesi perjumpaan bersama kelab-kelab penyokong bolasepak tempatan.

Penulis sememangnya 'respect' dengan Presiden FAS ini kerana dengan 'humble'nya turun sendiri bertemu dengan wakil kelab-kelab penyokong Sarawak yang rasa-rasanya mungkin tidak akan berlaku kepada kita. Apa yang penulis faham mengenai perjumpaan ini adalah bagi mencari persetujuan bersama (FA dengan kelab penyokong) mengenai beberapa perkara terutama ke arah menyokong pasukan negeri.

Dikhabarkan perjumpaan tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari kelab penyokong seperti Sarawak Football Fan Club (SFFC), Ultra Crocs dan beberapa kumpulan di bawah Gallore Buceros seperti Crocs Attack, S3, Sayotters dan GGM. Betapa bertuahnya kelab-kelab penyokong jiran kita ini kerana bukan sahaja dapat bersua muka dengan orang nombor satu dalam skuad negeri malah dapat berkongsi pendapat ke arah kejayaan pasukan. Ini adalah satu penghargaan yang besar buat kelab-kelab penyokong kerana sumbangan, peranan dan suara mereka juga mendapat perhatian dari pihak persatuan.

Kita disini pastinya tersangat-sangat cemburu dengan perkembangan yang berlaku di luar sana. Baru-baru ini majlis pengenalan pemain yang dianjurkan oleh SAFA lebih dilihat kepada sesi pertemuan antara pemain dengan Presiden SAFA. Dan kita tertunggu-tunggu bilakah sesi untuk peminat dan penyokong bertemu dengan para pemain. Penulis ada mendengar khabar angin mengatakan mungkin sesi bertemu peminat akan diadakan selepas skuad selesai dengan perlawanan pra-musim mereka. Walaupun belum pasti, kita tetap optimis yang SAFA ada rancangan untuk kita sebagai peminat dan penyokong selepas ini.

Dua isu yang menarik untuk kita bincangkan bersama disini. Pertama, adakah kita mempunyai persatuan atau kelab penyokong yang benar-benar 'mampu dan layak' untuk dijadikan sebagai platform kepada peminat dan penyokong bersuara. Sebenarnya kita ada kelab penyokong 'rasmi' dan penulis tidak perlu sebut kerana anda sendiri tahu kewujudannya. Namun, agak malang sekali kerana di kelab tersebut kini dilihat seolah-olah 'terbengkalai' dan tidak keterlaluan kiranya penulis mengatakan kelab 'rasmi' ini bukan mewakili suara penyokong 100%. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan apa yang penulis katakan disini, namun inilah apa yang penulis lihat dan mungkin juga yang anda lihat.

Penulis melihat kemunculan beberapa kelab dan kumpulan penyokong 'underground' yang bergerak aktif menerusi laman sosial sebagai perkembangan yang sangat-sangat menarik. Malah, kita juga ada ultras penyokong yang penulis rasakan memiliki suara yang paling 'lantang'. Dan terima kasih buat North Borneo Ultras yang menjadikan suasana bolasepak kita meriah dan sensasi. Anda mungkin ingat bagaimana mereka bergabung dengan beberapa kelab penyokong underground yang lain 'mengertak' SAFA di Stadium Likas selepas insiden hitam 9-0 yang lalu. Inilah pertama kali penulis melihat dengan mata sendiri kebangkitan paling berani dari penyokong kita. Ini sebenarnya baik untuk bolasepak kita namun caranya mungkin sedikit 'cacat'. Adalah lebih baik kiranya SAFA ikut cara yang dilakukan oleh FAS. Sangat mudah, bukan?

Isu kedua yang penulis kemukakan disini ialah mengenai kesediaan pihak SAFA untuk turun padang mendengar luahan dan cadangan dari wakil kelab penyokong. Tapi isu ini penulis tidak akan ulas kerana jawapannya ada pada pihak SAFA sendiri. Di pihak penyokong,  jika ia benar terjadi seperti yang dilakukan FAS, maka ianya adalah satu pengiktirafan yang besar buat penyokong.

Realitinya, 'kuasa penyokong' yang ada pada kita masih setapak dibelakang berbanding kelab-kelab penyokong lain di negara kita. Masih banyak perkara yang perlu kita pelajari. Buat SAFA, jangan pandang sebelah mata sahaja pada kelab-kelab penyokong kerana mereka juga adalah sebahagian dari bolasepak negeri kita. Hargailah peranan, sumbangan dan pergorbanan yang telah dicurah selama ini.
Sabah selamanya!!!!!

1 ulasan:

  1. satu ketika dulu kumpulan penyokong 'Underground' ini merupakan kumpulan penyokong yang mendapat sokongan penuh dari SAFA, namun, perubahan pengurusan dan moskot SABAH FA kumpulan ini seperti dipinggirkan oleh pengurusan SAFA itu sendiri.
    Kumpulan ini yang ditubuhkan sejak dari 1998 bergerak aktif dari tahun ke tahun sehingga sekarang. Disebabkan cinta kepada pasukan negeri kumpulan ini mengambil moto "kalah menang tatap sukung"

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...