19 Dis 2012

Sabah idam satu piala

Musa bersalaman dengan pemain Sabah dalam majlis pengenalan pemain
“SAYA mahu satu piala musim depan.”Ringkas tetapi penuh bermakna amanat dan harapan yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kepada para pemain Sabahawks dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Tidak mahu ia dijadikan sebagai omongan kosong, Musa mendesak agar pemain-pemain baharu yang dipilih bagi mewakili pasukan tersebut mempamerkan persembahan terbaik dengan semangat berpasukan, jujur dan amanah bagi mengembalikan kegemilangannya sebagai antara pasukan disegani.

Ujarnya, ia penting bagi mendapatkan semula sokongan ribuan penyokong tempatan yang sentiasa berada di sisi mereka biarpun akan beraksi pada Liga Premier nanti.

“Secara jujurnya, memang saya akui agak terkilan terutama apabila pasukan yang disayangi ini bakal bermain di Liga Premier dan bukan lagi Liga Super.

“Namun, bagi saya kedua-dua liga ini mempunyai persaingannya tersendiri dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala mampu mengubati luka pada musim ini," katanya ketika berucap pada majlis suai kenal pemain skuad Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Pada majlis tersebut, hampir 60 peratus muka-muka baharu diperkenalkan bagi memperkuatkan pasukan Negeri Di Bawah Bayu dengan lapan pemain import tempatan dan empat daripadanya adalah bintang kelab T-Team diketuai bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Tiga lagi bekas pemain T-Team yang menyertai Sabah termasuk Khairul Izwan Khalid, Shahril Faizal Sharifuddin dan Wan Mohd. Aliff Wan Jasmin.

Selain itu, Mohd. Hafizulldin Mohd. Noor daripada pasukan KL Pos, Mohd. Fazilidin Khalid (Selangor), Shahril Shaari (Harimau Muda) dan bekas pemain Pahang, Wan Azwari Wan Noor.

Bagi memastikan misi satu piala tersebut tercapai, Sabah juga mempertaruhkan dua pemain import dari luar negara iaitu penyerang antarabangsa Mali, Koh Troare selain pertahanan dari Wales, Rhys David Weston.

16 pemain tempatan dikekalkan terdiri daripada Irwan Jamil, Rosdin Wasli, Alto Linus, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan, Julamri Muhammad, Shahrudin Radzi, Zainizam Marjan dan Juffery Omopor.

Dalam majlis tersebut juga, pasukan Sabahawks turut mendapat tajaan pakaian daripada syarikat sukan, Grace One Sdn. Bhd.

Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkata, para pemain juga dituntut mengambil semangat yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan yang berjaya mempertahankan ketiga-tiga piala yang dimenangi mereka sebelum ini.

Tambahnya, beliau mahu bukan sahaja pihak pengurusan malahan setiap pemain meletakkan sasaran untuk kembali semula ke kancah Liga Super pada musim 2014.

“Sehubungan itu, saya mahu para pemain bersih dari segi pemikiran dan komited terhadap setiap perlawanan yang diharungi.

“Kamu (para pemain) juga harus mengikis istilah menjual permainan kerana saya tidak akan teragak-agak untuk bertindak segera dan mengenakan tindakan displin sekiranya berjaya menghidu kegiatan tidak bermoral ini," tegasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, David McCreery berkata, bagi memantapkan lagi pasukan tersebut beberapa siri perlawanan akan diadakan dengan pasukan Selangor, T-Team dan Polis Diraja Malaysia pada 26, 27 dan 28 Disember sebelum menguji skuadnya bersama kelab bola sepak dari Filipina pada awal Januari.

“Kita berharap pemain akan menunjukkan aksi yang lebih baik dan fokus pada setiap perlawanan serta bersungguh-sungguh agar dapat memenuhi impian Presiden Safa,” katanya.

Sumber gambar dan berita:
Kosmo Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...