25 Nov 2012

Keputusan penuh perlawanan Malaysia vs Singapore Piala Suzuki AFF 2012

Keputusan penuh perlawanan Malaysia vs Singapore Piala Suzuki AFF 2012 25/11/12

Keputusan Penuh:

MALAYSIA (0)

vs

SINGAPORE (3)
Shahril Ishak 31', 37'
Alexsandar Duric 75'


Malaysia memilih jalan yang sukar dalam kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada edisi 2010 apabila tewas perlawanan pertama menentang pasukan jiran, Singapura dengan keputusan 3-0 kelmarin.

Walaupun bermain di tempat sendiri dengan dibantu oleh sokongan puluhan ribu peminat tempatan,permainan pasukan Malaysia nampak tidak menepati status sebagai tuan rumah dan juga juara bertahan. Pasukan Singapura dilihat lebih mendominasi permainan dengan gerakan-gerakan yang lebih kemas berbanding pasukan Malaysia yang kelihatan agak kucar-kacir sepanjang tempoh permainan.

Kapten Singapura, Shahril Ishak meledak dua gol di separuh masa pertama hasil daripada kesilapan di bahagian benteng terakhir pasukan negara. Gol pertama pasukan lawan hadir pada minit ke 31 hasil hantaran jauh dari Shaiful Esah dengan Shahril bijak melepasi kawalan Azmi Muslim sebelum mudah menolak masuk gol pertama.

Kesilapan penjaga gol negara, Khairul Fahmi selang lima minit kemudian yang gagal menumbuk bola sepakan percuma dari Shahdan Sulaiman membawa padah dengan Shahril mudah menanduk masuk bola yang cuba dikeluarkan di atas garis oleh Fadhli Shas. Tamat babak pertama, Malaysia ketinggalan 0-2.

Bersambung di separuh masa kedua, Malaysia tampak sukar menembusi benteng pasukan Singapura yang dikawal baik oleh rangkaian pertahanan yang diketuai oleh Baihakki Khaizan. Kelalaian benteng pasukan negara sekali lagi dihukum pada minit ke 75 apabila pemain gantian yang juga pemain paling tua dalam kejohanan AFF kali ini, Alexsandar Duric mudah menanduk masuk hantaran lintang Shahdan Sulaiman untuk Singapura mendahului 3-0.

Walaupun pasukan Malaysia cuba bangkit pada sepuluh minit terakhir namun segalanya nampak tidak menjadi buat pasukan negara. Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha hampir memberi gol saguhati buat negara pada minit-minit akhir permainan namun percubaannya sempat ditepis oleh penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud sebelum bola terkena tiang.

Tamat perlawanan, Malaysia tewas 0-3 kepada pasukan Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...