13 Jun 2012

Cerita Admin: Singapore Lions XII


Analisis pasukan: Singapore Lions XII | Singapore Lions xii vs Sabah 16 Jun 2012 Liga Super Malaysia


Kempen liga Super kembali bersambung selepas 'berehat' seketika dengan perlawanan pada Sabtu ini yang menemukan pasukan Sabah dengan Singapura pastinya akan menjadi tumpuan para peminat tempatan. Kita sedar, kerancakan EURO yang sedang berlangsung kini sedikit mengganggu tumpuan kita kepada baki kempen liga super yang harus dilalui skuad Sabahawks. Namun kita percaya peminat Sabahawks khususnya, sudah bersedia untuk melupakan seketika Euro untuk memberi tumpuan kepada perlawanan Sabtu ini.

Perlawanan ke-18 liga untuk Sabahawks pastinya perlawanan yang sukar dan mencabar dengan melihat kepada keupayaan dan prestasi semasa pasukan lawan, Singapore Lions xii. Mereka ketika ini berada di puncak liga selepas mengharungi 22 perlawanan dengan mengutip 44 mata hasil daripada 13 kemenangan, 5 seri dan 4 kalah. Lihat pula statistik prestasi mereka di laman sendiri musim ini:

HOME RECORD - LIONS XII 2012
Perlawanan: 11
Menang | Seri | Kalah: 7-2-2
Jaring | Bolos: 25-12
Kemenangan terbesar: PKNS 5-0
Kekalahan terbesar: Kelantan 1-2
Mata dikutip/Mata Maksimum: 23/33

Rekod perlawanan tempat sendiri Lions XII
Sabah seperti yang kita tahu tidak memiliki rekod away yang baik dengan sehingga kini belum mencatat sebarang kemenangan di tempat lawan. Lima daripada lapan pertemuan Sabah di tempat lawan berakhir dengan seri dan empat daripadanya berakhir dengan keputusan 2-2. Tiga lagi perlawanan lain menyaksikan Sabah tewas.

KEKUATAN LIONS XII
Sukar untuk meramalkan peluang Sabah di Std. Jalan Besar jika hanya melihat kepada statistik kedua-dua pasukan. Yang akan menentukan keputusan akhir perlawanan ini nanti adalah bergantung kepada kekuatan dan strategi pasukan masing-masing. Lions dilihat lebih tajam dalam gerakan serangan mereka dengan memiliki beberapa pemain yang boleh melakukan jaringan. Tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada penyerang Agu Casmir (4 gol), Suffian Anuar (3 gol) dan Shahril Ishak (12 gol) , Lions memiliki Shahdan Sulaiman (8 gol) yang bermain di posisi tengah yang berkemampuan melakukan jaringan selain Hariss Harun (1 gol). Malah, lebih menarik Lions mempunyai pemain pertahanan yang mampu membuat jaringan seperti Safuwan Baharuddin (3 gol), Baihakki Khaizan (2 gol), Shaiful Esah Nain (2 gol) dan masing-masing satu gol oleh Irwan Shah dan Shevki Sha'ban.

Satu lagi kelebihan Lions yang sememangnya diakui ramai jurulatih adalah memiliki set piece atau dead ball situation yang berkesan dan merbahaya. Mereka berjaya menghasilkan jaringan hampir dalam kesemua perlawanan menerusi gerakan ini. Setiap gerakan yang bermula dari sepakan sudut, lontaran masuk dan sepakan percuma sememangnya sering memberi masalah kepada pertahanan lawan. Kita imbas semula jaringan Lions ketika menentang Sabah di Likas yang lalu dimana jaringan tunggal mereka diperolehi menerusi gerakan dead ball situation yang mana sepakan percuma yang diambil dari sudut kiri gawang Sabah mudah ditanduk masuk pemain pertahanan Lions, Hariss Harun. Disinilah kekuatan pasukan Lions yang seringkali gagal dikekang oleh pasukan lawan. Sabah perlu mencari formula untuk mengekang pergerakan dan serangan Lions dari situasi ini.

LIONS XII BOLEH 'DIJINAKKAN'
Di mata penulis, Lions boleh 'dilumpuhkan' dengan melakukan 'man-to-man marking' terutama sekali pemain tengah mereka. Pemain Sabah perlu melakukan pressure dan tight marking tanpa memberi peluang langsung untuk Lions bergerak selesa di bahagian tengah. Sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Itali ketika menentang Sepanyol dalam aksi perlawanan EURO Sabtu lalu yang berjaya 'mencacatkan' corak permainan pasukan lawan yang kita ketahui terkenal dengan gerakan hantaran pendek one-two yang kemas. Kita boleh melihat bagaimana setiap pemain Itali melakukan tight marking dan pressure yang berjaya menyempitkan ruang pergerakan pemain Sepanyol. Pertahanan pastinya bahagian yang akan sibuk dalam pasukan Sabah pada perlawanan ini dan tiada ruang untuk melakukan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah sama seperti yang berlaku di Likas. Bahagian serangan yang seringkali menjadi 'bahan mulut' peminat tempatan ekoran ketumpulan melakukan penyudah dalam perlawanan-perlawanan lalu harus membuktikan sesuatu yang luarbiasa di Std. Jalan Besar.

GOOD LUCK SABAHAWKS
Kita mengharapkan jurulatih Sabahawks, Justin Ganai telah melakukan 'video analysis' untuk menganalisis corak permainan pasukan Lions selain mengkaji kelemahan dan kekuatan setiap pemain dalam pasukan itu. Mungkin ini boleh membantu Justin untuk mengatur strategi dan taktik pasukan selain membantu merangka kesebelasan yang terbaik yang mampu mengekang Lions.

Semoga berjaya, Sabahawks.
Sabah Tatap.

Cerita Admin - Rabu, 13 Jun 2012

-Klik iklan di bawah sebagai tanda sokongan anda kepada blog ini-

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...